
RANAU: Ketua Polis Daerah, DSP Simiun Lomudin mengingatkan orang ramai, khususnya ibu bapa agar sentiasa mengambil berat mengenai pergerakan anak-anak mereka terutama ketika pergi dan balik dari sekolah.
“Terdapat beberapa kejadian di sini di mana kanak-kanak terpaksa menunggu berjam-jam untuk dijemput ibu bapa,” katanya.
Beliau mengulas satu kejadian di sini pada 20 April lalu apabila satu laporan polis dari Balai Polis Ranau menjadi tular di media sosial.
Simiun menjelaskan, laporan itu dibuat seorang kakitangan kerajaan di sini susulan kejadian anaknya berusia 9 tahun ketika pulang dari sekolah, diajak masuk ke dalam kereta oleh seorang lelaki dewasa tidak dikenali, untuk membawa anak pengadu ke sebuah restoran KFC.
Kanak-kanak itu tidak mengendahkan ajakan lelaki tersebut, sebaliknya berjalan kembali ke sekolah untuk bertemu ibunya yang juga kakitangan di sekolah tersebut.
Bagaimanapun, katanya, hasil siasatan polis terhadap laporan tersebut mendapati tiada unsur yang boleh menimbulkan syak wasangka dari sudut jenayah.
“Ini kerana anak pengadu menyatakan kejadian pada hari itu bukanlah kali pertama kanak-kanak itu melihat kereta tersebut di luar sekolah. Beberapa kali juga, anak pengadu ternampak seorang pelajar sekolah masuk ke dalam kereta itu,” katanya.
Sebaliknya, Simiun berkata kes laporan polis tular ini juga ada positifnya iaitu ibu bapa dan pihak berkaitan kini lebih peka terhadap keselamatan anak-anak ketika keluar rumah untuk bermain, termasuk ke sekolah.
Sementara itu, beliau turut mengingatkan orang ramai supaya tidak terlalu cepat panik dengan berita yang tidak sahih dan tidak terburu-buru mahu menularkan setiap maklumat yang diterima melalui media sosial.
“Apatah lagi jika berita itu boleh menimbulkan kegusaran kepada orang ramai atau mengganggu ketenteraman awam.
“Hakikatnya, polis tidak pernah mengabaikan tanggungjawab untuk memastikan keselamatan dan keamanan orang ramai, khususnya di wilayah ini.
“Kami akan sentiasa memastikan keselamatan rakyat pada tahap terkawal dan kestabilan,” katanya.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

