Bapa lima anak harap sinar di Aidilfitri

18 Apr 2022 • 12:49 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

PAPAR: Bapa kepada lima anak, Rashid Mukreh, 58, yang tinggal sendirian di Kg Kabang mengharap sinar di Aidilfitri.

Dia yang telah bercerai dua kali, memiliki empat anak hasil perkahwinan pertama dan seorang cahaya mata dalam perkahwinan kedua.

Namun, setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri, dirinya kerinduan dan hanya mampu mengimbas semula saat-saat indahnya bersama anak serta isteri lebih sedekad lamanya di sebuah rumah usang.

“Ya, rindu. Semoga ada sinar hari raya pada tahun ini, saya berharap mereka (anak-anak) akan datang,” katanya penuh harapan walaupun telah terputus hubungan sejak sekian lama.

Menurut adik ipar, Jamil Dullah, 53, sejak bercerai, kehidupan Rashid termasuk makanan dan pakaian diuruskan oleh isterinya yang juga adik perempuan beliau.

Oleh itu, katanya, sumbangan yang dihulurkan oleh Yayasan Nur Jauhar (YNJ) dapat meringankan beban terutama persiapan abang iparnya itu untuk menyambut Aidilfitri.

Sementara itu, Pengerusi Masjid An-Nur Kg Kabang, Husin Ramlan, 56, yang ditemui merakamkan ucapan terima kasih kepada Penasihat dan juga Isteri Yang DiPertua Negeri Sabah, Toh Puan Norlidah R.M Jasni atas penyampaian sumbangan tersebut.

“Ini adalah julung kali kita dikunjungi isteri Tuan Yang Terutama yang menyampaikan sumbangan kepada 40 orang asnaf di Kg Kabang dan Kg Kawari.

“Jadi, kita berharap golongan yang telah menerima sumbangan dapat memanfaatkannya dengan sebaik-baiknya, di samping terus mengimarahkan solat terawih dalam bulan ramadan ini,” ujarnya.

Beliau memaklumkan, setakat ini, jumlah kehadiran jemaah untuk menunaikan solat terawih amat memuaskan memandangkan lebih 90 peratus penduduk yang menduduki kampung berkenaan adalah muslim.

Terdahulu, Toh Puan Norlidah menyampaikan sumbangan sama kepada 70 asnaf di Surau Al-Firdaus Kg Gana.

Turut hadir, Pegawai Daerah, Hadzlan Jablee, Pegawai Agama Islam Daerah, Masnor Manshor dan Setiausaha Perhubungan Istana Seri Kinabalu, Datuk Mohd Rashid Mohd Tahir.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.