Bantuan Khas Aidilfitri, Penjawat Awam Terima RM500, Pesara RM250

5 Apr 2022 • 1:15 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Ismail Sabri Yaakob - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR - Kerajaan mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam Gred 56 dan ke bawah, selain RM250 untuk pesara kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pembayaran bantuan khas itu akan dibuat bersama dengan pembayaran gaji April, iaitu pada 25 April 2022.

“Sukacita diumumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk memberi Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam Gred 56 dan ke bawah, termasuk kakitangan di bawah skim Contract Of Service, Contract For Service, Pegawai Sambilan Harian serta lantikan di bawah MySTEP.

“Kerajaan juga bersetuju untuk memberi bantuan khas sebanyak RM250 kepada pesara kerajaan. Bantuan khas tersebut melibatkan peruntukan sebanyak RM923 juta dan akan memanfaatkan lebih 2 juta penjawat awam dan pesara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, pengumuman pemberian bantuan khas itu dibuat lebih awal pada tahun ini, sebagai antara langkah keprihatinan kerajaan dalam membantu golongan terbabit membuat perancangan awal dan persiapan menyambut Aidilfitri.

Katanya, pemberian itu adalah bagi menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam dalam menggalas tanggungjawab menyampaikan perkhidmatan kepada Keluarga Malaysia.

Beliau berkata, kerajaan berharap dengan pemberian bantuan khas itu, ia dapat meringankan beban kewangan penjawat awam dan pesara.

“Malah dijadikan sebagai pemangkin kepada mereka untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi,” katanya. – Getaran, 5 April 2022