
Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri Sabah wajar mengambil langkah drastik menyediakan pengangkutan laut serta menawarkan subsidi tambang murah kepada warga Sabah yang ingin pulang ke kampung halaman sempena Aidilfitri sebelum akhir bulan ini.
Menyuarakan cadangan tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuamut Datuk Masiung Banah (gambar) berkata keadaan itu disebabkan kenaikan harga tiket penerbangan domestik untuk laluan Semenanjung ke Sabah dan Sarawak yang kini melambung naik di luar jangkaan.
Katanya, walaupun cadangan menyediakan pengangkutan laut tidak pernah dibuat sebelum ini namun ianya wajar dilakukan bagi setiap perayaan bagi membantu penduduk Sabah, rata-ratanya golongan B40, yang ingin balik ke kampung bersama keluarga.
“Saya sedia menawarkan khidmat mencari inisiatif pengangkutan laut kepada rakyat Sabah jika Kerajaan Negeri bersetuju dengan cadangan ini.
“Tindakan syarikat penerbangan menaikkan harga tiket sehingga 566 peratus dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak menjelang hari raya adalah tindakan memeras keringat rakyat.
“Mereka tahu rakyat tiada pilihan melainkan menaiki kapal terbang dan mereka sengaja mengambil kesempatan memeras keuntungan berlipat kali ganda,” katanya, dalam satu kenyataan di sini, Khamis.
Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan (LPPB) itu kesal dengan isu ini yang dilihat langsung tidak mencerminkan konsep Keluarga Malaysia.
“Saya menerima banyak aduan dari warga Sabah di Semenanjung berkenaan harga tiket pergi dan balik meningkat sehingga RM3,000 daripada harga asal iaitu sekitar RM300 hingga RM400 sebelum ini.
“Kenaikan harga tiket dari Kuala Lumpur ke dua negeri Borneo ini merupakan kejutan ngeri bagi rakyat sedangkan harga bahan api dunia masih di tahap rendah,“ katanya.
Masiung berkata, disebabkan kenaikan harga yang terlalu mahal ini, kebanyakan warga Sabah di Semenanjung membatalkan hasrat balik ke kampung halaman untuk menyambut Hari Raya.
Beliau turut menggesa Parlimen dan Dewan Rakyat menyuarakan tindakan drastik terhadap langkah syarikat penerbagan komersial kerana ia membabitkan rakyat kurang berkemampuan terutama pelajar, warga kerja dan petugas barisan hadapan.
Mengulas lanjut mengenai isu itu, Masiung berkata, sepatutnya kerajaan melalui Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (SJPM) perlu menjadi juara rakyat dan mengawal harga tiket yang tidak masuk akal.
Terdahulu, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor turut mengesa Kementerian Pengangkutan menurunkan harga tiket laluan antara Kuala Lumpur, Sabah dan Sarawak yang melonjak sehingga 566 peratus. Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin pula melalui laman Facebook beliau, menyifatkan tindakan syarikat penerbangan menaikkan harga tiket sebagai menghisap darah rakyat.
Ahli Parlimen Bandar Kuching Kelvin Yii, pula mahukan syarikat penerbangan menambah jadual penerbangan ke Sabah dan Sarawak lebih banyak menjelang Aidilfitri dan segera menurunkan harga tiket yang tidak munasabah.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

