Kanak-Kanak Rentung Dalam Kebakaran

10 Apr 2022 • 4:09 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Pasukan Bomba dan Penyelamat bersama pihak Polis sedang memeriksa sebelum mengeluarkan mayat kanak-kanak malang berkenaan.

LAHAD DATU - Seorang kanak-kanak lelaki ditemui rentung dalam kebakaran melibatkan dua buah rumah di Kampung Tanjung Labian, Sungai Bilis, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Abu Bakar Ash Siddiq Rajesh, 9, dikatakan sedang tidur di tingkat atas rumah berkenaan bersama adik-beradiknya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan daripada MERS999 berhubung insiden itu pada jam 11.05 pagi.

Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu dan sebuah jentera dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak 120 kilometer dari balai.

Sepasukan anggota dari Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Felda Sahabat turut bergegas ke lokasi dan tiba di lokasi pada jam 12.43 tengah hari.

“Menurut maklumat PBS Felda Sahabat, kebakaran melibatkan dua buah rumah jenis tidak kekal yang musnah sepenuhnya.

“Pasukan telah menjalankan gerakan mencari dan menyelamat seorang mangsa yang terperangkap serta ditemukan rentung dalam kebakaran itu,” katanya.

Sumsoa berkata mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Tambahnya, operasi ditamatkan pada jam 2.40 petang selepas pasukan bomba mengesahkan tiada bahaya lain di lokasi. - Getaran, 10 April 2022