MOTAC tawar geran kepada pengusaha hotel

29 Apr 2022 • 1:23 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

SHAH ALAM - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menawarkan permohonan Geran Padanan Bagi Tujuan Pembaikan Kepada Hotel Bajet kepada pengusaha hotel bertaraf satu dan dua bintang di bawah kementerian itu.

MOTAC dalam kenyataan memaklumkan, permohonan tersebut akan dibuka sehingga 15 Jun ini dan bakal memanfaatkan 643 hotel di bawah kementerian itu.

"Pemberian geran ini bertujuan memberi peluang sama rata dan membantu pengusaha hotel di Malaysia membaik pulih premis mereka yang terkesan akibat Covid-19 agar dapat menawarkan kemudahan dan fasiliti terbaik kepada pelancong domestik atau antarabangsa.

"MOTAC menyeru semua pengusaha hotel yang layak untuk segera mengemukakan permohonan geran yang ditawarkan ini," menurut kenyataan itu pada Jumaat.

Kementerian itu sebelum ini telah membuka permohonan geran pada 1 hingga 30 April ini kepada semua pengusaha hotel bajet yang diberikan penggredan 1, 2 dan 3 Orkid.

"Pemberian geran ini diharap dapat membantu pengusaha hotel untuk terus kekal berdaya saing bagi mempromosikan premis-premis mereka dalam menarik lebih ramai pelancong datang menginap.

"Maklumat lanjut seperti garis panduan permohonan, borang permohonan dan lain-lain maklumat boleh dilayari di laman sesawang rasmi MOTAC di www.motac.gov.my/geranpadanan," kata kenyataan itu.