100 pintu rumah kongsi penempatan sementara terbakar di Semporna: 900 hilang tempat tinggal

22 Apr 2022 • 3:45 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

SEMPORNA: Dianggarkan kira-kira 900 penduduk hilang tempat tinggal dalam kebakaran melibatkan kira-kira 100 pintu rumah kongsi di Penempatan Sementara Kampung Bangau-Bangau di sini dalam kejadian bermula pukul 11.35 malam Rabu lepas.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna Edoen Macheal berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS999 dan menggerakkan 12 anggota bersama pegawai dengan dua jentera termasuk EMRS ke lokasi kejadian.

“Operasi turut dibantu sepasukan lima anggota dari BBP Air Semporna, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati 10 blok rumah kongsi menempatkan lebih 900 penduduk telah musnah terbakar,” katanya ketika dihubungi pemberita di sini pada Khamis.

Tambahnya, pasukan bomba segera melakukan operasi pemadaman bagi mengelak api merebak ke kawasan penempatan lain sebelum berjaya dikawal pada 12.46 tengah malam.

“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan kawasan kebakaran selamat dan operasi ditamatkan pukul 3.05 pagi tadi. Setakat ini, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam insiden kebakaran tersebut,” katanya.

Kawasan itu merupakan penempatan sementara yang dibina kerajaan untuk mangsa kebakaran rumah atas air Kampung Bangau-bangau yang berlaku pada 2017.

Sementara itu, Angelista Bastara, yang kehilangan segala harta benda dalam kejadian kebakaran rumah pada tahun 2015, sama sekali tidak menyangka kejadian itu berlaku sekali lagi malam Rabu lepas, namun beliau pasrah untuk memulakan kembali kehidupannya.

Angelista, 45, berkata tragedi malam Rabu lepas itu menyebabkan semua harta benda yang dikumpul selepas kebakaran tahun 2015 itu musnah sekelip mata, dan malam itu, beliau sekeluarga kembali sehelai sepinggang sama selepas kejadian 2015.

“Dahulu kami tinggal sehelai sepinggang kerana tidak ada apa-apa yang dapat diselamatkan, nampak hari ini sekali lagi terpaksa bermula semula,” katanya ketika ditemui pemberita di pusat penempatan sementara Dewan Belia dan Sukan Kampung Bangau-Bangau di sini pada Khamis.

Berkongsi mengenai kejadian malam tadi, Angelista berkata ketika itu dia sedang memasak air panas dan tiba-tiba terdengar suara jeritan yang disangkakan aktiviti ‘kejut sahur’, sebelum berlaku dua letupan kuat.

“Saya nampak api, tanpa buang masa saya keluar bersama anak bongsu berusia tiga tahun, serta sebelum itu sempat mengambil dokumen diri, kemudian saya periksa semua enam anak saya termasuk yang sulung berusia 17 tahun, selamat.

“Selepas itu baru saya berpatah balik masuk ke rumah, menyelamatkan suami, 50, yang mengalami bengkak kaki dan tidak dapat berjalan untuk dipapah keluar menyelamatkan diri bersama-sama, syukur saya sempat sampai, api waktu itu sudah semakin dekat dengan rumah kami,” tambahnya.

Bagi Limgon Linsun, 38, pula tiba-tiba beliau mendapat kekuatan untuk menyelamatkan dua mertuanya yang merupakan warga emas, dengan cara seorang didukung manakala seorang lagi ditolak menggunakan troli.

“Sebelum kejadian saya sedang berbaring, tiba-tiba saya mendengar jeritan dari luar dan saya berlari keluar dan melihat kepulan asap serta api besar, saya cuma ingat mentua, waktu itu tiada barang yang dapat diselamatkan kecuali kereta saya,” katanya.

Sementara itu, seorang wanita warga emas, Sitti Julbaidah, 80, terpaksa menguatkan hati untuk meredah kepulan asap tebal bagi menyelamatkan diri serta cucunya berusia 3 tahun.

“Saya orang terakhir keluar dari rumah, tiada apa-apa yang saya bawa, saya berlari, asap tebal tidak nampak apa-apa, orang macam semut waktu itu, syukur semua ahli keluarga terselamat, meskipun harta benda dapat diselamatkan,” katanya turut reda dengan dugaan dihadapi.

Sementara itu, Brave Bagiti, 27, pula berkata melihat api bermula dari rumah di kawasan tengah penempatan, sebelum merebak memusnahkan rumah lain.

“Waktu itu saya sedang membaiki kereta sebelum ternampak api dari rumah di tengah-tengah, saya jerit ‘api’ banyak kali dan sekuat hati,” katanya dan menambah rumah mentuanya juga terbakar serta bahagian belakang keretanya terkena api.

Pada awal bulan ini, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor mengumumkan peruntukan RM8.25 juta bagi kerja-kerja membaiki rumah transit Kampung Bangau-Bangau yang didiami mangsa kebakaran kampung itu pada tahun 2015.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.