
Kota Kinabalu: Seorang peserta pertandingan Unduk Ngadau yang mendakwa dicabul seorang ahli politik berusia 52 tahun, menangis ketika memberi keterangan pada hari pertama perbicaraan kes itu di sini, pada Selasa.
Majistret Stephanie Sherron Abbie yang mendengar kes Phillip Among, terpaksa menghentikan perbicaraan selama beberapa minit untuk memberi ruang kepada saksi bertenang.
Saksi berusia 22 tahun yang didakwa sebagai mangsa dalam kes itu tidak dapat menahan tangisan ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Mazlan apa yang dia rasa apabila Philip mengusap belakangnya di mana saksi itu berkata dia terkejut dengan perbuatan Philip dan berasa tidak selesa. Dia memberitahu mahkamah bahawa Philip membelai belakangnya sambil berkata ‘halus oh belakang kau, tiada jerawat.’
Menurut saksi, semasa kejadian, bahagian belakangnya terdedah kerana pakaian itu direka sedemikan rupa.
Dia seterusnya memberi keterangan bahawa selepas Philip mengusap belakangnya buat kali pertama di tangga semasa mereka naik ke studio untuk bergambar, dia masih berfikiran positif dan baik tentang Philip.
Dia memaklumkan kepada mahkamah bahawa tiada sesiapa bersamanya ketika kejadian berlaku di tangga kerana dua kakitangan Philip pergi ke studio lebih awal.
Mangsa yang didakwa telah memberi keterangan sebagai saksi pertama dalam perbicaraan Philip yang menghadapi empat pertuduhan mencabul peserta Unduk Ngadau pada 19 Mei 2021 pada pukul 2 petang, 3.30 petang, 9.45 malam dan 10 malam, masing-masing di tangga bersebelahan Ever Best Photo in Asia City, di Studio Darvel Bay Borneo Holidays Sdn Bhd di Asia City, dalam kenderaan bergerak semasa dalam perjalanan dari tempat makan malam ke pejabat lama di bandar dan di pejabat di Metro Town.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

