Suami Isteri Berjimak Semasa Azan Subuh Berkumandang, Sahkah Puasanya?

29 Apr 2022 • 4:30 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Gambar Hiasan Pexels

Baru-baru ini tular di media sosial utama tentang satu soalan kontroversi yang dipertanyakan kepada mantan Mufti Wilayah Persekutuan dan Menteri Agama, Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Soalannya berbunyi seperti ciapan berikut: 

Berikutan soalan cepumas tersebut, ramai pengguna di Twitter bercanda dan menjadikan ia sebagai bahan jenaka, sedangkan soalan yang dipertanyakan sebenarnya masih relevan.

Sahkah puasa ketika suami isteri sedang berjimak semasa azan Subuh sedang berkumandang? Pastinya ramai juga yang tertanya-tanya, bukan?

Bagi menjawab persoalan ini, Zulkifli melalui laman sesawangnya, Maktabah al-Bakri memetik firman Allah SWT:

حِلَّ لَكُمۡ لَيۡلَةَ ٱلصِّيَامِ ٱلرَّفَثُ إِلَىٰ نِسَآئِكُم

Maksudnya: “Telah dihalalkan buat kamu pada malam hari puasa itu untuk bersama dengan isteri kamu.”

Surah al-Baqarah: 187

Zulkifli menjelaskan pada asasnya perkara yang membatalkan puasa adalah berjimak dengan sengaja.

Dengan memetik Dr Muhammad al-Zuhaili, beliau menyatakan persetubuhan pada siang hari Ramadan secara sengaja membatalkan puasa, sekalipun tidak berlaku inzal (keluar air mani). 

Manakala persetubuhan pada malam hari Ramadan pula tidak menjejaskan puasa berdasarkan ayat di atas kerana perkataan “ٱلرَّفَثُ dalam ayat itu bermaksud jimak.

image is not available
Gambar Hiasan Pexels


Memetik Dr Muhammad al-Zuhaili pula, beliau menjelaskan sekiranya suami isteri berjimak sebelum terbitnya fajar, kemudian persetubuhan itu berhenti seiring dengan terbitnya fajar, ia masih tetap sah.

Hal ini kerana air mani itu keluar hasil daripada mubasyarah (berseronok dengan bersentuhan tanpa lapik) yang diharuskan, maka ia tidak merosakkan puasanya.

Kesimpulan

Zulkifli berpendapat suami isteri yang sedang berjimak pada malam Ramadan, lalu azan Subuh berkumandang, maka puasa kedua-duanya masih dikira sah jika suaminya terus mencabut keluar zakarnya dari faraj isterinya saat mendengar azan tersebut. Tiada kaffarah (bayaran) dikenakan. 

image is not available
Gambar: Unsplash

Manakala, jika mereka masih meneruskannya, dalam keadaan mengetahui waktu Subuh sudahpun masuk ketika terbitnya fajar sadiq, sekalipun tidak mendengar azan, maka puasa kedua-duanya terbatal dan diwajibkan untuk menggantikan puasa tersebut.

Malah, suaminya juga diwajibkan kaffarah kerana berjimak di siang hari Ramadan, jika cukup syarat-syaratnya sebagaimana yang disebutkan di atas. - Getaran, 29 April 2022