
RANAU: Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata kesesakan jalan raya antara Tamparuli ke pantai timur Sabah berpunca daripada peningkatan bilangan kenderaan di atas jalan raya untuk ‘balik kampung’ sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, baru-baru ini.
Menurutnya, keadaan itu selalunya berlaku pada hujung minggu atau ketika perayaan dan keadaan kembali normal pada hari biasa.
“Keadaan kesesakan itu akan dapat diatasi apabila pembinaan jalan Pan Borneo dilaksanakan tidak lama lagi mengikut perancangan kerajaan,” jelas Masidi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Karanaan.
Beliau berucap pada majlis 3 Dalam 1, (Hari Keluarga, Perasmian Homestay Red Tierra dan Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri) anjuran Kaluarga Hj Roslan Bin Daiman di Tanah Merah yang terletak 5 kilometer dari pekan Ranau, baru-baru ini.
Masidi yakin kesesakan yang dialami sekarang akan bertambah baik selepas sambutan Hari Raya kerana ramai yang pulang ke lokasi kerja masing-masing.
“Orang ramai perlu bersabar menghadapi situasi ini, kerana kesesakan masih berlaku walaupun berlaku kemalangan jalan raya dan pembaikan jalan yang mengalami tanah runtuh tidak dijangka,” katanya.
Mengenai majlis itu, Masidi memuji keluarga Roslan kerana berjaya menganjurkan majlis ‘3 Dalam 1’ yang pastinya mampu mengeratkan lagi hubungan silaturahim sesama ahli keluarga yang mungkin berjauhan di pelbagai pelusuk negara mengikut kerjaya masing-masing.
“Majlis sebegini perlu diadakan agar ukhwah tidak terputus sehingga generasi akan datang,” katanya.
Masidi menyifatkan Homestay Red Tierra sebagai satu lagi kemudahan pengunjung atau pelancong ke daerah Ranau sebagai lokasi penginapan menarik dengan pemandangan sawah padi dan alam sekitar serta panorama indah Gunung Kinabalu.
Homestay ini mempunyai lapan bilik untuk disewa, sebuah restoran dan pelbagai kemudahan termasuk kawasan parkir yang luas dan selamat telah dimulakan pada 2019 dan siap sepenuhnya pada November 2021.
Hadir sama pada majlis itu ialah Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah yang juga Adun Paginatan, Datuk Abidin Madingkir dan Pengerusi Persatuan Pesara Kerajaan Persekutuan cawangan Ranau, Erwan Gunda.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

