Rumah rosak, pokok tumbang dipukul ribut di Gemencheh

9 May 2022 • 10:45 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

SEREMBAN - Hujan lebat berserta ribut menyebabkan tiga rumah penduduk di Kampung Gedok, Gemencheh, dekat sini mengalami kerosakan petang Isnin.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Gemencheh, Norfaizal Ahmad berkata ,kejadian pada jam 4.50 petang itu, mengakibatkan sebahagian bumbung rumah penduduk tercabut diterbangkan angin kuat selain ada rumah yang ditimpa pokok tumbang.

"Ribut turut menyebabkan 10 pokok tumbang di jalan utama Gemencheh-Gemas dan jalan Kampung Gedok membuatkan kawasan itu ditutup sementara. Namun, kerja-kerja pengalihan pokok telah dijalankan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Bagaimanapun, beliau berkata, tiada mangsa dilaporkan cedera setakat ini.

Norfaizal berkata, butiran keadaan rumah yang terjejas telah diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan untuk tindakan selanjutnya dan menasihatkan penduduk supaya sentiasa berjaga-jaga dengan bahaya elektrik serta runtuhan. - Bernama