
KUALA LUMPUR - Seorang bayi lelaki berusia kurang 24 jam ditemui dalam plastik hitam selepas ditinggalkan di belakang sebuah rumah dekat Taman Puchong Indah, Puchong, Subang Jaya, malam tadi.
Bayi cukup sifat yang masih hidup itu ditemui penduduk taman perumahan terbabit pada jam 9.24 malam sebelum memaklumkannya kepada polis.
Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Superintendan Mohd Fairus Jaafar berkata, kehadiran bayi itu hanya disedari seorang penduduk selepas mendengar bunyi tangisan dari arah belakang rumah teres berkenaan.
Menurutnya, bayi itu dibungkus dengan plastik hitam dalam keadaan terbuka di lokasi tersebut.
“Polis ke lokasi dan mendapati bayi dalam keadaan berlumuran darah bersama uri serta bertali pusat.
“Kawasan kejadian pula didapati dalam keadaan gelap serta semak,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Mohd Fairus berkata, bayi terbabit dihantar ke Hospital Serdang untuk rawatan.
“Pemeriksaan oleh doktor kecemasan mendapati bayi seberat 2.19 kilogram itu dilahirkan secara normal.
“Tiada kesan kecederaan pada badan bayi tersebut dan anggaran tempoh kelahiran adalah sekitar 38 hingga 40 minggu,” katanya.
Beliau berkata, bayi itu kini ditempatkan di Special Care Nursery (SCN) Hospital Serdang untuk pemantauan dan rawatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran bayi dengan niat membuangnya,” katanya.
Pada masa sama, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Nor Adilah Rosli di talian 016-6873616 atau Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya di talian 03-56210343. - Getaran, 6 Mei 2022
