
SHAH ALAM, 10 MEI: Sebanyak enam pusat kebajikan termasuk rumah anak yatim menerima sumbangan Aidilfitri melalui program Kongsi Rezeki Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).
Yang Dipertua Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata penyerahan dilaksana secara berperingkat sejak 29 April lalu meliputi barangan berupa beras, gula, susu, minyak masak, tepung dan lampin pakai buang.
“Setiap pertubuhan turut menerima wang tunai RM1,000 dan duit raya berjumlah RM2,000. Kita berharap sumbangan ini sedikit sebanyak menceriakan lagi sambutan perayaan golongan terbabit.

“Program ini juga diadakan bertujuan mendekati dan membantu individu yang memerlukan bantuan selain melaksanakan salah satu tanggungjawab sosial MPAJ,” katanya menerusi kenyataan.
Antara penerima ialah Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim dan Asnaf Qaseh Ibu, Lembah Jaya Selatan; Pusat Jagaan Sri Mesra, Taman Watan dan Pertubuhan Kebajikan dan Perlindungan Nur Qaseh Malaysia, Taman Melawati.
Turut menerima bantuan ialah Pertubuhan Kebajikan Nur Hati, Taman Rasmi; Pertubuhan Kebajikan Asnaf An Naafi Kuala Lumpur, Bukit Antarabangsa dan Pertubuhan Kebajikan Asnaf Al Barakh Malaysia, Taman Sepakat.
The post Enam pusat kebajikan, rumah anak yatim terima sumbangan raya MPAJ appeared first on Selangorkini.


