#TahukahAnda Kenali 3 Pereka Cipta Malaysia Yang Hebat

Design
5 Jun 2022 • 8:00 AM MYT
Saya Zuan
Saya Zuan

An avid toy collector who enjoys making videos, writing and travelling.

Image from: #TahukahAnda Kenali 3 Pereka Cipta Malaysia Yang Hebat

Sumber: Pexels.com

Pernahkah anda berjalan-jalan dalam kenderaan atau pengangkutan awam sambil melihat keadaan sekeliling dan terfikir siapakah orang yang mereka cipta benda-benda tersebut? Daripada benda kecil yang diperbuat daripada getah sehingga ke benda besar seperti mesin perindustrian, semestinya dicipta oleh satu atau beberapa manusia. Namun, tahukah anda ada beberapa benda yang didapati di sekeliling kita dicipta oleh warganegara Malaysia sendiri?

Mereka cipta suatu benda memerlukan idea, penyelidikan, pembinaan prototaip, pembangunan produk, masa, wang dan macam-macam lagi. Proses ini adalah suatu proses yang memakan masa dan memenatkan tetapi sekiranya seseorang mempunyai minat dalam bidang tersebut, tentu keringat yang digunakan untuk menghasilkan produk daripada idea itu seakan perkara kecil sahaja. Tidak terhenti disitu sahaja, selalunya pereka cipta atau pelapis baru pula akan cuba menghasilkan produk yang lebih baik selepas suatu masa melalui proses inovasi.

Di Malaysia terdapat beberapa pereka cipta yang jarang-jarang kita kenali namun telah banyak menyumbang kepada kemajuan bidang masing-masing. Jom kita baca tentang mereka!

  1. Raja Inovasi Malaysia

Encik Zulkifli Haji Haron
Sumber: Utusan Malaysia

Jika anda tidak mengenali siapakah “Raja Inovasi Malaysia” ini, jelas anda tidak terlibat dalam bidang rekacipta dan inovasi. Ini kerana, Encik Zulkifli Haji Haron selalunya dijadikan inspirasi oleh generasi muda kreatif yang menginginkan inspirasi dalam kerja-kerja inovasi dan rekacipta.

Sumber: ZullDesign

Diberi nama jolokan “McGyver Malaysia”, Encik Zulkifli mulai merekacipta produk dari tahun 1984 dengan ciptaan pertamanya iaitu Kereta Berkomputer. Setiap tahun, Encik Zulkifli akan membuat rekaan terbaru dengan tujuan untuk memberi kemudahan kepada dirinya dan pengguna-pengguna lain. Beberapa rekaan Encik Zulkifli yang lain adalah seperti Mesin Dodol Berkaki Empat (1987), Basikal Solar (1989), Sistem Hovercraft (1991), Sistem Rumah Pintar (1995), Robot untuk Institut Penyelidikan Nuklear Malaysia (2004) dan banyak lagi.

  1. Tembok Nehemiah

Dr. Nehemiah Lee di hadapan Tembok Nehemiah
Sumber: Nehemiah Walls

Apabila anda menunggang motosikal atau menaiki kenderaan melalui “flyover”, pernahkah anda terfikir apakah fungsi dan siapakah pereka batu berupa bongkah heksagon tersebut? Diambil bersempena namanya sendiri, Dr. Nehemiah Lee adalah pereka cipta Tembok Nehemiah iaitu sistem tembok penahan tanah yang terdiri daripada kepingan blok atau konkrit pra-tuang berbentuk heksagon yang beralur dan bertakuk.

Apabila batu-batu ini diletakkan di atas satu sama lain, ia akan kelihatan seperti “honeycomb” (sarang lebah). Struktur batu-batu ini diperkuatkan dengan besi bar bergalvani melalui “anchor block” sebelum diisi dengan tanah. Selain daripada “flyover” atau jambatan, batu-batu ini juga digunakan sebagai pengukuhan cerun semasa pembinaan jalan.

Selain di Malaysia, Tembok Nehemiah boleh didapati di Singapura, Australia dan China.

  1. Bekas Telur Rebus Separuh Masak

Datuk Hew Ah Kow
Sumber: Says

Berasal dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan, Datuk Hew Ah Kow mendapat inspirasi rekaan beliau disebabkan masalah yang dihadapinya mendapatkan telur separuh masak yang sempurna. Pada tahun 1973, beliau bekerja sebagai seorang pemandu jentolak dan kerap menghabiskan masa di dalam hutan. Malangnya, beliau jarang dapat membuat telur separuh masak yang sempurna sebagai sarapan pagi dan tiada produk yang dapat membantunya mengatasi masalah ini.

Selepas setahun beliau cuba-cuba merekacipta, akhirnya bekas telur rebus separuh masak yang sempurna berjaya dicipta. Jujur saya katakan, di rumah saya ada dua bekas telur rebus separuh masak ini!

***

Apakah anda juga suka mereka cipta produk baru yang memberi kemudahan kepada diri anda dan orang sekeliling?


Saya Zuan adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!

*Kandungan di atas hanya mewakili pandangan penulis sendiri. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.