5 Tips Persiapan Rumah Terbuka untuk Sambutan Aidilfitri

19 May 2022 • 12:00 PM MYT
Duan Deris
Duan Deris

Duan Deris adalah pekebun separuh masa dan penulis bebas di cariblogger.com

image is not available

Featured photo credit BERNAMA

Rumah terbuka sepanjang bulan Syawal sememangnya sudah menjadi trend masyarakat di Malaysia. Biasalah, raya kan sebulan? Jadi anda ada beberapa minggu untuk merancang persiapan sekiranya mahu menganjurkan rumah terbuka sempena Aidifitri.

Andai di kampung halaman, rumah terbuka sering dilakukan pada minggu pertama Hari Raya Aidilfitri. Sejurus pulang ke kota, semua sibuk mahu menguruskan rumah terbuka di rumah masing-masing pula.

Walaubagaimanapun, tanpa persiapan yang teliti, rumah terbuka anda mungkin boleh menjadi haru biru. Pada artikel kali ini, jom kita bincangkan beberapa tips persiapan rumah terbuka sempena sambutan Aidilfitri yang perlu kita semua ambil tahu.

1. Perancangan awal

Tak kira apa jua majlis ataupun aktiviti yang melibatkan keramaian, perancangan awal adalah salah satu perkara yang wajib anda lakukan. Tanpa perencanaan yang cermat, risiko kegagalan adalah sangat tinggi dan segala penat lelah anda akan menjadi sesuatu yang sia-sia.

Rancangan awal serta pelan tindakan harus disediakan sekurang-kurangnya seminggu sebelum majlis. Antara senarai semak yang harus dititikberatkan untuk rumah terbuka Aidilfitri adalah seperti berikut:

  • Tarikh dan waktu undangan rumah terbuka
  • Lokasi venue rumah terbuka
  • Jumlah bilangan undangan
  • Cara mengundang ke rumah terbuka
  • Perancangan menu rumah terbuka
  • Ruang dan persiapan tempat
  • Persiapan logistik dan transportasi
  • Perancangan tema dan hiasan berkaitan
  • Persediaan doorgift dan duit raya

2. Persediaan bajet

Apabila semua senarai semak di atas sudah diteliti, mulakan merancang bajet yang diperlukan untuk menjayakan rumah terbuka tersebut.

Andai kata bajet tidak mencukupi, cuba penuhi perkara-perkara yang penting dahulu. Sebagai contoh, cuba utamakan menu makanan dan persediaan yang wajib terlebih dahulu. Persiapan tambahan seperti doorgift boleh diabaikan jika kewangan anda tidak mengizinkan.

Tidak perlu tergopoh-gapah. Rancanglah dengan teliti berdasarkan budget wang yang anda sudah sedia ada. Tak guna menambah hutang jika tidak mampu.

3. Persediaan menu sajian

Setelah selesai penetapan budget kewangan, anda bolehlah terus bersiap untuk menguruskan menu sajian rumah terbuka. Sekiranya mahu masak sendiri, persiapan barang-barang masakan haruslah diperkemaskan dengan hati-hati.

Andai mahu menggunakan khidmat katering, tempahan awal adalah sangat penting. Harus diingatkan, bukan anda seorang yang mahu menganjurkan rumah terbuka. Elakkan daripada melengah-lengahkan tempahan.

4. Persiapan kawasan

image is not available

Selain menu makanan, persiapan kawasan juga sangat penting. Rumah harus dibersihkan lebih awal dan ianya boleh dilakukan secara beransur-ansur.

Kemudahan seperti bilik tetamu, ruang solat, meja makan, tandas dan lain-lain haruslah disediakan dengan teliti demi menjamin keselesaan para jemputan yang hadir.

Selain itu, perkara asas yang wajib seperti bekalan air perlu dipastikan ada ketika majlis berlangsung. Untuk keselamatan, sediakan bekalan air tambahan sebagai sandaran sekiranya bekalan air putus.

5. Duit raya

Akhir sekali, tanpa duit raya maka tidak lengkapkan rumah terbuka anda. Anggaplah pemberian ini sebagai sedekah. Sekiranya tidak mampu untuk memberi lebih, cukuplah ianya sekadar ada.


Duan Deris adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!

*Newswav adalah platform pengagregatan dan semata-matanya mengehoskan kandungan. Pandangan yang dinyatakan dan kandungan di atas termasuk media (gambar, video, dan lain-lain) adalah dimuatnaik oleh pengarang. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.