Pelantikan Tajuddin Sebagai Duta Malaysia Ke Indonesia Dipersetujui Jokowi

Politics
18 May 2022 • 5:29 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Ismail Sabri Yaakob (tengah) berbual dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin (kanan) pada Sambutan Aidilfitri Kementerian Dalam Negeri 2022 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, pelantikan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia sudah dipersetujui Presiden negara berkenaan, Joko Widodo atau Jokowi.

Beliau berkata, difahamkan Tajudin, 74, sudah menerima surat persetujuan daripada Jokowi berhubung pelantikan berkenaan.

“Kita sudah setuju lantik (Tajuddin sebagai duta) dan Indonesia juga setuju.

“Dia (Tajuddin) orang politik yang lama dan berpengalaman,” tambah Ismail Sabri katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas reaksi dan persoalan pihak tertentu mengenai pelantikan Tajuddin ketika ditemui wakil media pada majlis sambutan Aidilfitri Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Puspanitapuri di Putrajaya, hari ini.

Semalam, Tajuddin dilaporkan mengesahkan pelantikannya sebagai Duta Besar Malaysia ke Indonesia.

Jawatan Duta Besar Malaysia ke Indonesia kini kosong dengan yang terakhir disandang diplomat Datuk Zainal Abidin Bakar.

Ketika ini, Kuasa Usaha Sementara Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia, Adlan Mohd Shaffieq mengetuai anggota kedutaan di negara berkenaan.

Terdahulu, pelantikan Tajuddin menerima kritikan ‘pedas’ daripada beberapa pihak yang mempersoalkan kelayakan beliau memegang jawatan berkenaan untuk membawa nama Malaysia ke negara seberang.

Kritikan itu turut disuarakan Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto dari DAP yang mengatakan pasti ada merit bagi seseorang untuk memikul tanggungjawab besar terbabit.

“Apakah kelayakan dan rekod prestasi yang ditunjukkan oleh Tajuddin untuk beliau mendapat keistimewaan mewakili Malaysia ke negara jiran Indonesia sebagai Duta Besar?,” soalnya.

Sebelum ini, Tajuddin pernah mencetuskan beberapa kontroversi, antaranya didakwa mengeluarkan kenyataan tidak sepatutnya ketika mengendalikan sidang akhbar susulan insiden transit aliran ringan (LRT), sehingga didakwa menjadi pencetus perkhidmatannya sebagai Pengerusi Prasarana Malaysia Berhad ditamatkan pada Mei 2021. - Getaran, 18 Mei 2022