Sumber: Gempak
Siapa saja yang tidak kenal produk Telekung Siti Khadijah? Siapa juga sangka kain yang digunakan untuk solat boleh menjadi suatu perniagaan berjaya sehingga mengaut keuntungan berjuta ringgit setahun?


Kalau anda tidak pernah menggunakan atau membeli telekung Siti Khadijah untuk dihadiahkan kepada orang lain sekalipun, tentu anda pernah sekali dua terserempak dengan papan iklan telekung Siti Khadijah di bandar-bandar besar atau lebuhraya. Papan iklan yang telah berjaya menambat hati kebanyakan wanita Muslim tanpa mengira usia tersebut mungkin memainkan peranan besar dalam kejayaan telekung Siti Khadijah pada hari ini. Tapi mula-mula sekali, mari kita kenali siapakah pemilik syarikat Siti Khadijah ini.

Sumber: Gempak
Puan Hajah Padzilah Enda Sulaiman berasal dari Ipoh, Perak. Selepas suami beliau bersara awal, suaminya mulai menceburi bidang perniagaan. Malangnya, syarikat perniagaan suami beliau mengalami kerugian yang besar tidak lama selepas itu dan beliau terpaksa membantu suaminya membuat perniagaan kecil-kecilan seperti menjual barangan kosmetik dan skim MLM bagi menampung perbelanjaan mereka. Namun begitu, kedua-dua perniagaan kecil-kecilan itu tidak memberi keuntungan yang banyak.
Puan Hajah Padzilah mempunyai bakat menjahit yang baik. Waktu itu, beliau sering mendengar keluhan wanita-wanita Muslim tentang masalah telekung mereka, terutamanya di bahagian muka. Ini kerana kebanyakan telekung di pasaran lebih kurang sama saja ukuran mukanya jadi sesetengah wanita merasa ia longgar di bahagian muka manakala ada yang lain merasa ia ketat. Selain daripada itu, sesetengah kain yang digunakan mungkin terlalu tebal atau kasar sehingga menyebabkan ketidakselesaan kepada si pemakai.
Selepas mendengar keluhan wanita-wanita yang datang kepada beliau meminta mengubah saiz muka telekung-telekung mereka, Puan Hajah Padzilah merasakan bahawa menjual telekung yang selesa untuk wanita-wanita Muslim tempatan mungkin merupakan suatu idea yang baik.
Maka, dengan berbekalkan modal RM10 ribu, beliau mula menjalankan perniagaan menjual telekung dari rumahnya di Kajang, Selangor pada tahun 2009. Dengan menamakan telekung-telekung beliau bersempena nama isteri pertama Rasulullah S.A.W. iaitu Siti Khadijah, Puan Hajah Padzilah memasarkan 200 pasang telekung yang pertama dengan dibantu suaminya.
Namun, rezeki tidak akan datang bergolek. Begitu juga dengan pengalaman Puan Hajah Padzilah dalam berniaga telekung pada mulanya. Walaupun hanya 200 pasang telekung, sukar untuk beliau menjual habis telekungnya. Beliau ada cuba memasarkan dan menjual telekungnya kepada agensi pelancongan yang membawa pelanggan-pelanggan mereka ke Mekah untuk ibadah umrah namun, tiada siapa yang berminat. Ini kerana ramai yang menyatakan bahawa telekung yang dijualnya mahal.
Berkat kesabaran dan kecekalan beliau dan suami, produk dan perniagaan beliau mulai mendapat perhatian ramai selepas ia dikongsi di media massa. Lebih ramai juga pelanggan mengenali dan memberi sokongan dengan membeli telekung-telekung beliau selepas beliau ditemubual dalam rancangan televisyen dan radio.
Puan Hajah Padzilah pernah juga menerima kritikan tentang perniagaannya. Ada segelintir masyarakat yang tidak puas hati beliau menjadikan telekung (iaitu produk digunakan untuk beribadah) sebagai suatu “produk berjenama”, seperti pakaian berfesyen di luar sana.
Walaubagaimanapun, kritikan dan cemuhan yang diterimanya dianggap sebagai pembakar semangat untuk beliau bekerja lebih keras dan membawa produk yang lebih berkualiti tinggi. Beliau sendiri menyatakan bahawa niat utamanya menjual telekung Siti Khadijah adalah untuk memberi keselesaan dan menggalakkan pelanggan-pelanggan beliau untuk solat dan beibadah kepada Allah S.W.T.
Titik utama kejayaan telekung Siti Khadijah berlaku pada tahun 2014 atas dua sebab:
- Anak lelaki beliau yang pernah bekerja sebagai pemasar digital dengan Google Jepun telah membuka kedai atas talian telekung Siti Khadijah
- Telekung Siti Khadijah dijual di Astro Go Shop — sebuah saluran membeli belah televisyen tempatan
Kedua-dua perkara ini telah membawa sambutan luar biasa kepada perniagaan Puan Hajah Padzilah. Telekung Siti Khadijah telah berjaya dijual lebih daripada 50,000 unit bernilai RM10 juta pada tahun tersebut.
Hari ini, rata-rata pemilik telekung Siti Khadijah atau sesiapa yang pernah menggunakan telekung Siti Khadijah memuji kualiti kain, keselesaan dan reka bentuk telekung-telekungnya. Walaupun harganya sedikit mahal dibandingkan dengan telekung-telekung yang lain di pasaran, pelanggan-pelanggan telekung Siti Khadijah tidak pernah menyuarakan ketidakpuasan hati dengan produk jenama ini. Telekung Siti Khadijah bukan sahaja boleh didapati di Malaysia sahaja malah di luar negara seperti Singapura, Brunei, Indonesia dan lain-lain.

Sumber: Siti Khadijah

Sumber: Siti Khadijah
Selain daripada telekung, jenama Siti Khadijah sentiasa mengolah perniagaan mereka dengan inovasi dan variasi baru seperti telekung untuk kanak-kanak, sejadah, pakaian lelaki seperti jubah dan kopiah, kasut, beg dan macam-macam lagi.

Tahukah anda baru-baru ini, telekung Siti Khadijah juga boleh dibeli daripada mesin layan diri? Ya, jangan terkejut jika anda terserempak dengan beberapa mesin layan diri yang menjual telekung Siti Khadijah di beberapa stesen hentian rehat dan rawat (R&R) di sepanjang lebuhraya Malaysia. Adakah ini cara lebih mudah untuk jenama ini mendekati pelanggan?
Mari kita jadikan kejayaan dan kecekalan Puan Hajah Padzilah Enda Sulaiman dalam melalui liku-liku perniagaan sebagai inspirasi kita untuk lebih ke hadapan!
Saya Zuan adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!
*Kandungan di atas hanya mewakili pandangan penulis sendiri. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.

