Baik pulih ban runtuh dijangka telan belanja sehingga RM1.8 juta: Sanusi

10 May 2022 • 4:40 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

JITRA: Kerja-kerja membaik pulih ban di Terusan Tengah di Struktur Alor Limpah, Sungai Santap, Pelubang dekat sini yang runtuh semalam dijangka akan menelan belanja antara RM1.5 juta hingga RM1.8 juta.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor(gambar) berkata kejadian runtuhan yang berlaku tengah hari semalam itu adalah di luar jangka dan menyebabkan berlaku gangguan bekalan air mentah ke beberapa loji rawatan air (LRA) di negeri ini.

“Ketika ini Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) sedang melakukan kerja-kerja membelat terusan ini yang membabitkan kos kira-kira RM300,000 dan dijangka dapat disiapkan hari ini.

“Kita membelat semula aliran air di terusan ini supaya kerja-kerja membaik pulih ban yang runtuh itu akan dapat dilakukan tapi itu akan ambil masa, jadi untuk tindakan segera kerja-kerja membelat sungai itu dilakukan untuk pulihkan semula aliran air,” katanya kepada pemberita ketika meninjau keadaan runtuhan ban itu di sini hari ini.

Beliau berkata paras air di terusan itu perlu dinaikkan ke paras normal bagi membolehkan beberapa LRA yang menerima bekalan air mentah dari terusan itu dapat beroperasi seperti biasa.

Muhammad Sanusi berkata setakat ini hanya LRA Pokok Sena yang ditutup ekoran kejadian itu, manakala LRA Jenun Lama dan LRA Jenun Baru masih beroperasi.

“Sebaik kerja membelat selesai hari ini, menjelang esok MADA akan lepaskan air yang sedang ditakung di Pelubang untuk penuhkan semula terusan ini dan semua LRA akan dapat beroperasi seperti biasa,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menasihatkan orang ramai khususnya di daerah Kota Setar selain Gurun dan Yan untuk menggunakan air secara berhemah sebelum bekalan air dipulihkan secara berperingkat di kawasan terjejas mulai esok.

Semalam, Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) memaklumkan gangguan bekalan air berlaku di daerah Kota Setar, Pokok Sena, Pendang dan Yan bermula 4.15 petang disebabkan kejadian runtuhan ban itu.

Insiden tersebut mengakibatkan operasi LRA Bukit Pinang, LRA Pokok Sena, LRA Jenun Lama dan LRA Jenun Baru terpaksa dihentikan yang dijangka menjejaskan kira-kira 80,000 akaun pengguna di empat daerah tersebut.-Bernama