Tular video di kelab malam, Dr Afifi Al-Akiti letak jawatan sebagai penasihat agama Sultan Perak

LocalPolitics
15 May 2022 • 4:58 PM MYT
UmmahToday
UmmahToday

From Ummah To Ummah News Portal

image is not available

IPOH : Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan menerima permohonan meletak jawatan Datuk Dr. Afifi Al-Akiti yang menyandang gelaran Orang Kaya-Kaya Imam Paduka Tuan, Orang Besar Delapan Negeri Perak merangkap Penasihat Rasmi Sultan Perak.

Ia susulan video yang tular mengenai seorang lelaki yang didakwa salah seorang penasihat dalam Majlis Raja-Raja Hal Ehwal Islam sedang berhibur di sebuah kelab malam.

Setiausaha Dewan Negara Perak, Datuk Seri Ayop Hashim berkata, Sultan Perak berkenan menerima peletakan jawatan Afifi itu yang mula berkuatkuasa pada hari ini.

“Baginda berkenan menerima permohonan tersebut yang mula dikuatkuasakan pada hari ini dan turut menzahirkan penghargaan atas segala jasa dan sumbangan yang diberikan Dr. Afifi sepanjang tempoh perkhidmatannya ketika menyandang gelaran Orang Kaya Kaya Imam Paduka Tuan dan,” katanya.

image is not available

Menurut Afifi, beliau memilih untuk tidak mengulas lebih lanjut atau memberikan sebarang jawapan berkenaan perkara tertentu yang tular di media sosial yang dianggapnya bertujuan untuk mencemarkan nama beliau.

Sudah pasti, perkara ini menimbulkan pertikaian orang ramai kerana individu yang diberi kepercayaan menggalas tanggungjawab menjaga hal ehwal agama terlihat terlibat dalam aktiviti yang boleh menimbulkan fitnah dalam agama.

“Menginsafi perkara ini jika berlarutan dan tidak dibendung akan menjejaskan darjat kemuliaan raja pemerintah dan institusi agama, saya mengutuskan warkah untuk menyampaikan hasrat ikhlas mahu berundur diri daripada penyandang gelaran Orang Kaya Kaya Imam Paduka Tuan,” katanya.

Tambahnya, keputusan tersebut baginya dilakukan atas rasa tanggungjawab dan sifat taat setia sebagai seorang rakyat kepada Sultannya demi melindungi darjat kemuliaan Paduka Seri Sultan Perak serta mengelakkan institusi agama dicemarkan.

Sebelum ini, tular di media sosial video kelibat seorang lelaki yang didakwa merupakan seorang tokoh agama berada di sebuah kelab malam.

Video berdurasi dua minit 24 saat itu menunjukkan dari sudut tepi seorang lelaki yang tidak jelas wajahnya memakai topi yang diiringi dengan dua orang wanita di kiri dan kanannya.

image is not available
Tangkap layar video tular penasihat agama di kelab malam – Twitter

Sedikit latar belakang mengenai Dr Afifi, beliau merupakan Felo Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford, United Kingdom, rakyat Malaysia pertama serta satu-satunya menerima tawaran jawatan tetap di universiti terkemuka berusia lebih 900 tahun itu sebagai pensyarah pada usia 32 tahun.

Beliau turut dilantik oleh Majlis Raja-Raja sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Majlis Raja-Raja Hal Ehwal Islam Peringkat Persekutuan bermula 2018, selain turut tersenarai dalam ‘The World’s 500 Most Influential Muslims’, sejak 2010 atas jasa dan sumbangannya.