
Ketuat boleh dikategorikan sebagai ketumbuhan tidak berbahaya di permukaan kulit dan lazimnya disebabkan oleh sejenis virus yang dinamakan Human Papiloma Virus ataupun singkatanya HPV (Sumber).
Walaupun kebiasaannya tidak memudaratkan, kejadian ketuat tidak harus dipandang mudah kerana terdapat beberapa jenis virus HPV yang boleh menyebabkan kanser dan ianya berkemungkinan berlaku jika melibatkan jangkitan di bahagian mukosa alat kelamin atau kepada individu yang mempunyai daya ketahanan sistem imun yang rendah (Sumber).
Menurut artikel yang diterbitkan oleh Harvard Medical School serta disokong dengan beberapa sumber yang lain, berikut adalah lima cara untuk menghilangkan ketuat dengan efektif. Selamat mencuba!
1. Guna asid salisilik

Asid salisilik merupakan salah satu rawatan berbentuk sapuan yang sering menjadi pilihan untuk menghilangkan ketuat. Melalui cara ini, ketuat akan cepat kering dan akhirnya berkeruping menjadikan ianya lebih senang untuk dibuang (Sumber).
Masa yang sesuai untuk sapuan asid salisilik adalah selepas mandi atau anda boleh merendam sahaja bahagian ketuat tersebut selama 10 hingga 15 minit dan kemudian lakukan rawatan sapuan asid salisilik. Ulang sapuan samada sekali atau dua kali sehari sehingga ketuat hilang.
2. Rawatan membeku (Cryotherapy)

Cryotherapy adalah sejenis rawatan yang menggunakan suhu sejuk melampau untuk membeku dan mengeluarkan tisu yang tidak normal (Sumber).
Menerusi beberapa kajian individu, rawatan cryotherapy dan asid salisilik mempunyai kadar keberkesanan yang sama sekitar 50 hingga 70 peratus kadar penyembuhan (Sumber).
3. Guna Duct Tape

Selain rawatan ketuat mengunakan asid salisilik dan cryotherapy, pendekatan penggunaan pita pelekat ataupun duct tape sangat berguna untuk menghilangkan ketuat.
Meskipun penemuan dapatan kajian masih tidak konsisten, cara menghilangkan ketuat dengan menggunakan duct tape adalah merupakan alternatif berisiko rendah yang harus dicuba.
Caranya juga cukup mudah, hanya perlu balutkan duct tape di bahagian ketuat dan biarkan selama enam hari. Kemudian buang duct tape dan basuh permukaan ketuat dengan sabun. Ulang proses ini sehinggalah ketuat hilang.
4. Prosedur Curettage & Cautery
Currettage bermaksud mengikis atau memotong manakala cautery bermakna membakar. Sebelum prosedur, doktor akan menyuntik bius sebelum ketuat dikikis dengan sejenis alat khas dan kemudian dibakar sehingga pendarahan berhenti.
Ini mungkin merupakan salah satu cara menghilangkan ketuat yang lebih cepat dan mudah. Selain itu, keberkesanan klinikal dan hasil kosmetiknya juga sangat baik serta menggalakkan (Sumber).

5. Imunoterapi
Andai rawatan biasa tidak dapat menghilangkan masalah ketuat, rawatan imunoterapi dikatakan mampu membantu sistem imun anda melawan virus.
Melalui salah satu pendekatan imunoterapi, sejenis bahan bernama diphencyprone (DCP) akan digunakan untuk menyebabkan tindak balas alahan ringan yang membuatkan ketuat hilang (Sumber).
Duan Deris adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!
*Newswav adalah platform pengagregatan dan semata-matanya mengehoskan kandungan. Pandangan yang dinyatakan dan kandungan di atas termasuk media (gambar, video, dan lain-lain) adalah dimuatnaik oleh pengarang. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.