Piala Thomas: Skuad Tanpa Bintang Malaysia Layak Ke Suku Akhir

10 May 2022 • 8:41 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Aksi Chia Wei Jie dan Goh Sze Fei ketika menentang pemain dari Amerika Syarikat, Adrian King-Sun Mar dan Henry Tang pada Kejohanan Piala Thomas di Stadium Impact Arena Bangkok hari ini. - Gambar Bernama

BANGKOK - Tiada bintang, tiada masalah. 

Skuad badminton Malaysia melayakkan diri ke suku akhir Final Piala Thomas 2022 di sini, terima kasih kepada skuad tanpa bintang negara yang menewaskan Amerika Syarikat (AS) 5-0 dalam perlawanan kedua Kumpulan D hari ini. 

Ketiadaan pemain perseorangan utama, Lee Zii Jia dan beregu nombor satu Malaysia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang direhatkan hari ini tidak melemahkan semangat pemain negara daripada membelasah pasukan AS di Impact Arena, di sini.

Wakil perseorangan pertama negara, Liew Daren yang kembali beraksi dalam Piala Thomas sejak final 2014, mencatat kemenangan 21-13 dalam set pertama ketika bertemu Enrico Asuncion.

Pemain veteran itu berjaya mengatasi beberapa saat yang mendebarkan sebelum menyumbangkan mata sulung negara selepas kemenangan 21-16 dalam set kedua.

“Gembira dapat kembali beraksi dalam Piala Thomas selepas lapan tahun tetapi saya rasa saya tidak bermain dengan baik tadi, ia selalunya sukar beraksi sebagai perseorangan pertama. 

''Saya berharap ini merupakan pemanas badan yang baik jika saya berpeluang beraksi berhadapan Jepun dalam perlawanan akhir kumpulan esok,” katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas perlawanan.

Selepas menewaskan pemain England, Johnnie Torjussen 21-16, 19-21, 21-11 dalam perlawanan pertama kumpulan semalam, bintang meningkat naik  Ng Tze Yong mengekalkan rekod bersihnya dengan memastikan kemenangan kedua berturut-turut dalam kejohanan ini ketika menentang Don Henley Averia.

Tze Yong yang berada di kedudukan ke-46 dunia mempamerkan aksi cemerlang dari awal hingga akhir permainan untuk menyumbang mata kedua negara dengan menewaskan pemain ranking 307 dunia itu, 21-11, 21-9.

Seorang lagi pemain muda, Aidil Sholeh Ali Sadikin yang membuat penampilan sulung dalam Piala Thomas selepas tidak berpeluang turun ke gelanggang dalam edisi Aarhus, Oktober lepas mengesahkan mata kemenangan Malaysia selepas menundukkan William Hu, 21-16, 21-17 dalam masa 30 minit.

Aidil Sholeh, yang gembira dengan penampilan sulungnya dalam Piala Thomas hari ini mengakui beliau bergelut untuk mendapatkan rentak ketika berhadapan William dan beliau berikrar untuk bermain dengan lebih baik jika dapat beraksi ketika berhadapan Jepun esok.

Gandingan  Chia Weijie-Goh Sze Fei tidak menghadapi masalah untuk mengatasi Adrian King-Sun Mar-Henry Tang 21-12, 21-8 untuk mata keempat Malaysia.

Enrico yang kemudian bergandingan dengan William gagal mengatasi cabaran pemenang pingat gangsa Kejohanan Dunia 2021  Ong Yew Sin-Teo Ee Yi dan tumpas kepada beregu Malaysia, 21-16, 21-8. 

Malaysia akan berhadapan Jepun dalam perlawanan penentuan Juara Kumpulan D sementara AS akan menentang England, esok. - Bernama