
Sumber: Zippyframes
Sekiranya anda tergolong dalam golongan Generasi X atau Generasi Y (Milennials), mungkin anda pernah menonton animasi pendek yang sering dimainkan di kaca televisyen lewat tahun 80-an iaitu “Sang Kancil & Monyet”. Filem animasi pendek ini adalah salah satu sumber hiburan buat saya waktu kecil-kecil dulu. Maklumlah, zaman saya dulu tiada permainan komputer seperti sekarang. Kalau ada permainan konsol sekalipun, sekejap-sekejap saja saya gunakan sebab kebanyakan masa lapang digunakan untuk bermain bola sepak bersama kawan-kawan.

Sumber: Tontonfilem
Salah seorang pencipta utama animasi “Sang Kancil & Monyet” ini bernama Hassan Abd Muthalib atau lebih senang dikenali sebagai Pak Hassan. Dilahirkan pada tahun 1945 di Alor Setar, Kedah, Pak Hassan dan keluarga berpindah ke Pulau Pinang dan di negeri tersebut beliau dibesarkan. Menurut Pak Hassan, sewaktu di bangku persekolahan, beliau kurang minat membaca buku sekolah tetapi lebih gemar membaca buku fiksyen dan amat aktif dalam seni lukisan.
Sewaktu beliau berusia 19 tahun pada tahun 1964, beliau berhijrah ke Kuala Lumpur dan pekerjaan pertama beliau adalah di gedung beli belah Robinson. Di sini, beliau menggalas tanggungjawab sebagai seorang pakar seni komersial. Selepas beberapa tahun bekerja di sana, beliau telah menyertai Filem Negara Malaysia (FNM) dan menjadi pelakar tajuk filem. Empat tahun kemudian, beliau diberi tanggungjawab menghasilkan animasi untuk FNM.
Walaupun Pak Hassan tidak mempunyai sebarang pengalaman dalam menghasilkan animasi, beliau menggunakan kaedah cuba-cuba (trial and error) untuk menghasilkan animasi yang berkualiti. Anda perlu ingat, komputer atau alatan elektronik yang digunakan untuk menghasilkan animasi pada tahun 70-an, 80-an atau awal 90-an bukan seperti komputer zaman sekarang. Kebanyakan prosedur yang dilakukan Pak Hassan dan pasukan beliau adalah secara manual.
Namun begitu, Pak Hassan tetap berjaya menghasilkan beberapa filem animasi pendek untuk Filem Negara Malaysia (FNM) seperti Nyamuk Aedes, Jimatkan Elektrik, Gas Silinder dan macam-macam lagi. Disebabkan kejayaan ini, Pak Hassan diberi tanggungjawab menghasilkan animasi “Sang Kancil” yang bukan saja menghiburkan kanak-kanak dan orang dewasa, tetapi juga menyampaikan pengajaran penting diakhir setiap episod animasi. Pada waktu ini, Pak Hassan merupakan ketua bahagian reka bentuk kreatif dan beliau bersama-sama pasukan beliau mengambil masa enam bulan untuk menyelesaikan setiap filem animasi pendek tersebut.

Selepas 27 tahun bekerja di FNM, beliau menamatkan kerjayanya pada tahun 1995. Tiga tahun selepas itu, filem animasi pertama Malaysia bertajuk “Silat Lagenda” ditayangkan. Walaupun filem ini kurang mendapat sambutan dan hanya berjaya membuat kutipan sebanyak RM141,700, ia merupakan satu kebanggaan buat rakyat Malaysia kerana telah berjaya menghasilkan filem animasi sebelum komputer atau perisian komputer yang canggih diperkenalkan di Malaysia.
Pak Hassan adalah seorang ikon yang disegani di Malaysia. Filemografi (animasi) beliau sangat membanggakan, pencapaian beliau juga bukan calang-calang. Maka, tidak terkejut apabila Pak Hassan diberi jolokan “Bapa Animasi Malaysia”, terutamanya selepas beliau dianugerahkan penghargaan tersebut oleh Perdana Menteri Malaysia.
Walaupun Pak Hassan kurang aktif dalam bidang animasi seperti dahulu, namun beliau tetap mengambil tahu tentang perkembangan dunia animasi tempatan. Apabila ditanya tentang kualiti animasi tempatan masa kini, beliau menasihatkan supaya tidak terlalu menekankan teknik animasi dan lupa tentang reka bentuk, tarikan dan pengajaran yang sepatutnya lebih diketengahkan dalam animasi.
Saya Zuan adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!
*Kandungan di atas hanya mewakili pandangan penulis sendiri. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.

