Berapa ramai di sini yang lahir atau membesar sekitar tahun 80-an dan 90-an? Jika anda adalah salah seorang darinya seperti penulis, pasti 10 permainan di bawah tidak asing lagi bagi kalian kan?
1) Batu Seremban
Batu seremban secara peribadinya merupakan permainan kegemaran penulis masa kecil. Permainan ini dimainkan secara membaling, menangkap dan menimbang-tangkap 5 atau 7 biji batu dan mendapat markah bagi setiap batu-batu yang berjaya ditangkap permainannya.

Ianya boleh dimainkan dengan 2 pemain atau lebih, mengikut giliran masing-masing. Sesiapa yang mempunyai kiraan skor paling tinggi akan dikira sebagai pemenang.
Walaupun pada namanya ada disebut ‘batu’, namun permainan ini juga boleh dimainkan dengan menggunakan objek lain yang sesuai seperti bungkusan-bungkusan kecil kain (contoh seperti dalam gambar) dan guli.
Penulis menggemari permainan ini kerana semasa membesar, inilah antara permainan yang paling handal penulis pernah mainkan. (boleh bermain menggunakan tangan kanan dan kiri, serta tidak kisah sama ada menggunakan batu, bungkusan kain ataupun guli – semuanya penulis boleh tapau)
2) Congkak
Kebiasaanya congkak diperbuat daripada kayu panjang yang ditebuk lubang dan bersama ukiran motif menghiasinya. Versi yang lebih moden diperbuat dari plastik dan boleh dipasang dan dicabut.
Namun bagi penulis, permainan congkak paling original adalah apabila dimainkan di permukaan tanah. Masih ingat lagi semasa membesar di FELDA dahulu, penulis dan rakan sepermainan akan menggali 14 lubang anak (7 di bahagian pemain 1 dan 7 lagi di bahagian pemain bertentangan).

Terdapat dua lubang ibu, setiap satunya bertentangan di hujung kanan dan kiri 7 lubang anak tadi. Bagi setiap satu lubang anak, akan diletakkan 7 biji batu / guli kecil (seperti batu seremban di atas) di dalamnya. Setiap pemain akan mempunyai total 49 batu / guli, manakala lubang ibu dibiarkan kosong di awal permainan.
Congkak boleh dimainkan oleh 2 pemain pada satu-satu masa. Matlamat kedua-dua pemain adalah mengumpulkan sebanyak mungkin batu / guli, masuk lubang ibu mereka yang bertindak sebagai rumah simpanan batu / guli tersebut. Sesiapa yang mengumpulkan paling banyak batu / guli, akan menang permainan tersebut.
3) Zerofon (Lompat Getah)
Ini juga salah satu daripada permainan kegemaran penulis semasa membesar. Anda hanya memerlukan seutas rantaian getah yang dianyam panjang, dan 2 orang memegang di setiap hujung rantaian getah tersebut. Hanya seorang pemain boleh melompat getah tersebut pada satu-satu masa – kalau tak boleh berlaga dan tercedera pula nanti jika lebih dari seorang.

Syaratnya bermainnya mudah sahaja – siapa yang boleh melompat di paras paling tinggi akan dinobatkan sebagai pemenang.
Permainan ini mempunyai beberapa pemboleh ubah yang menarik. Contohnya, pemain yang berukuran badan tinggi kebiasannya mempunyai kelebihan untuk menang berbanding yang lebih rendah. Namun begitu, terdapat juga mereka yang walaupun badannya lebih rendah, tetapi mampu melompat melepasi ketinggian orang yang lebih tinggi.
4) Lubang Tikus
Sekurang-kurangnya 3 pemain diperlukan dalam aktiviti ini. Dua orang akan duduk berdepan satu sama lain dan membentuk halangan bagi si tukang lompat menggunakan tapak tangan mereka yang dikembangkan dan diletakkan bermula dari atas tanah.

Bagi setiap pusingan, jumlah tapak tangan akan dinaikkan satu-persatu secara bergilir-gilir oleh dua orang yang duduk ini. Si tukang lompat akan cuba lompat melepasi susunan tapak tangan secara menegak ini tanpa menyentuh susunan tersebut sebanyak pusingan yang mungkin. Pemain yang melepasi paling banyak halangan atau ketinggian akan digelar pemenang.
5) Cuit / Rebut Tiang
Ini merupakan permainan kegemaran penulis apabila ada waktu senggang di sekolah. Contohnya semasa rehat atau jika masa guru tiada. Disebabkan terdapat banyak laluan panjang berbumbung yang menghubungkan blok-blok bangunan sekolah, permainan ini menjadi sinonim dimainkan di lokasi tersebut.

Syaratnya mudah sahaja. Ada seorang di tengah yang matlamatnya adalah menangkap atau sekurang-kurangnya mencuit mana-mana rakan di sekelilingnya yang cuba beralih dari satu tiang ke tiang yang lain.
Permainan ini lebih bercorak adrenalin kerana keseronokannya terletak pada kebolehan si pemain tengah untuk menangkap mereka yang mahu bergerak dari tiang ke tiang. Dan mereka yang bergerak dari tiang ke tiang ini akan merasakan thrill dengan mencabar kepantasan pemain tengah tersebut.
Bagi pemain yang berjaya ditangkap atau dicuit pemain tengah, dia akan menggantikan tempat pemain tengah pula sebagai hukuman. Jika difikir-fikir semula, permainan ini memang bagus untuk melatih stamina si pemainnya.
6) Patuk Ular
Permainan patuk ular atau nama lainnya konda-kondi ini adalah satu permainan yang sedikti kontroversi saat penulis membesar dahulu. Kenapa? Kerana ada masanya penulis dan adik-beradik akan dilarang dari bermainnya kerana ada sesetengah ibu bapa yang merasakan permainan ini agak berbahaya.

Seronoknya permainan ini adalah kerana ia merupakan permainan berpasukan. Akan ada dua pasukan yang akan menentang satu sama lain. Jadi kelebihan permainan ini adalah memupuk teamwork.
Cara ianya dimainkan adalah dengan pemain pertama menggunakan sebatang kayu sederhana panjang, untuk mencungkil sebatang kayu yang lebih pendek dari tanah agar melambung ke udara. Kayu yang melambung itu kemudiannya akan dipukul oleh kayu sederhana panjang tadi ke arah pemain-pemain pasukan lawan yang akan cuba untuk menangkapnya sebelum jatuh ke tanah.
Sekiranya pemain pasukan lawan berjaya menyambut kayu ‘terbang’ tersebut, giliran pasukan yang bermain akan tamat. Namun sekiranya pasukan lawan gagal menyambut kayu ‘terbang’ tadi, pasukan pemain pertama tadi boleh meneruskan giliran mereka.
Markah dikira dengan menghitung jarak dari tempat jatuhnya kayu ‘terbang’ tadi ke tempat asal ia dilambungkan. Permainan ini menjadi kegemaran penulis saat berkumpul beramai-ramai dengan sepupu di kampung. Saat dimarahi oleh orang tua semasa bermain permainan ini kekal menjadi memori yang sering kami sebut semula apabila berkumpul dengan saudara-mara kini.
7) Sorok-Sorok
“Okay, aku kira satu sampai sepuluh, engkau orang semua pergi menyorok okay? Siapa yang pertama sekali kena ‘tangkap’ dia yang jadi pula lepas tu.” Begitulah dialog biasa penulis semasa bermain sorok-sorok dengan rakan sepermainan masa kecil dulu.

Masih segar di ingatan penulis – pengalaman misteri apabila ada ‘seseorang’ yang menyamar sebagai kawan baik penulis, mengetuk pintu rumah selepas waktu Maghrib. Dia mengajak penulis bermain sorok-sorok di rumpun pokok buluh besar yang tidak berapa jauh dari rumah penulis membesar dahulu. Nasib baik ibu penulis cepat-cepat menutup pintu dan memarahi penulis yang ketika itu berumur 10 tahun. Lama juga penulis tak dibenarkan bermain sorok-sorok dek kerana peristiwa misteri tersebut.
8) Nenek Si Bongkok Tiga
Bercakap tentang misteri, ini lagi satu permainan yang sering dimainkan waktu kecil dahulu yang tidak kami ketahui asal usul lagunya. Setelah menonton filem Nenek Si Bongkok Tiga arahan Michael Ang beberapa ketika lepas, barulah penulis terasa betapa seram dan misterinya lagu itu. Namun semasa membesar permainan ini sangat kerap dimainkan di halaman rumah penulis.

Cara permainan ini dimainkan adalah dengan seorang yang berlakon sebagai ‘nenek’, matanya akan diikat kain dan dia akan memegang satu kayu sebagai tongkat. Pada awal permainan si ‘nenek’ akan memegang hujung kayu tersebut dan hujung lagi satu akan dipegang oleh pemain yang akan membentuk satu barisan panjang. panjang. Ada juga versi yang mana para pemain berpegang tangan mengelilingi ‘nenek’ semasa menyanyi.
Permainan dimulakan dengan lagu ‘Nenek Si Bongkok Tiga’ dan apabila lagu berakhir, ‘nenek’ tadi akan cuba menangkap salah seorang pemain dan meneka identiti pemain tertangkap tersebut. Jika tekaannya betul, pemain tersebut pula akan seterusnya menjadi ‘nenek’. Begitulah permainannya menurut ingatan penulis. Barangkali ada versi lain yang mungkin pembaca boleh kongsikan bersama?
9) Tuju Selipar
Ketangkasan mengelak dan ketepatan melontar menjadi kunci kepada permainan ini. Tuju selipar merupakan permainan pertama pemain yang mempunyai elemen tahan sakit. Kali pertama terkena penangan selipar yang dilempar ke badan – berair juga mata penulis waktu itu.
Keterujaan permainan ini terletak pada cabaran buat pemain untuk melempar tepat bagi menumbangkan 3 selipar yang disusun tegak, yang bersandar kepada satu sama lain. Sekiranya tukang lempar berjaya menumbangkan formasi 3 selipar tadi, dia kemudiannya boleh mengutip selipar dan melemparkannya agar kena kepada pemain lain. Sekiranya terkena, si tukang lempar tersebut akan mendapat markah.

Penulis masih ingat lagi bermain permainan ini dengan abang-abang penulis. Mereka menggunakan kudrat yang kuat dan selalu terjadi pergaduhan antara kami apabila selipar dilempar terlalu kuat. Begitulah kenangan indah semasa membesar yang dapat penulis ingat bersama abang-abang dahulu.
Harapan Penulis
Sebenarnya terdapat banyak lagi permainan lain yang popular sekitar tahun 80-an dan 90-an yang tidak sempat penulis ceritakan di sini. Antaranya seperti sepak getah, lubang kancil, galah panjang dan banyak lagi.
Yang pasti, kesemua permainan ini pasti akan menggamit semula memori mereka yang membesar sekitar tahun itu. Bagi pembaca yang lebih muda, cuba kalian tanyakan tentang permainan ini kepada yang lebih tua. Pasti anda akan dapat menjentik semula atau melihat sisi inner child mereka tatkala mereka menceritakan semula atau mengimbas kembali kenangan bermain permainan tersebut semasa membesar.
Harapan penulis agar permainan-permainan ini dapat sentuh hati dan dipopularkan semula dalam kalangan generasi hari ini agar warisan ini sentiasa malar segar, tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas. Jika bukan kita, siapa lagi yang nak pelihara legasi ini kan? Semoga bermanfaat.
KadangKaler adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!
*Newswav adalah platform pengagregatan dan semata-matanya mengehoskan kandungan. Pandangan yang dinyatakan dan kandungan di atas termasuk media (gambar, video, dan lain-lain) adalah dimuatnaik oleh pengarang. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.
