Wujudkan Akta Anti Buli, Kekang Buli Di Sekolah

31 May 2022 • 5:15 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Wan Azliana Wan Adnan (dua dari kiri) menunjukkan laporan kes buli di sekolah di Malaysia yang akan diserahkan kepada kementerian-kementerian berkaitan. Turut kelihatan, peguam, Abdul Hayyi Salim (dua dari kanan) bersama ibu mangsa buli, Nurul Faradila Abdullah (paling kiri) dan bapa mangsa buli, Zainizam Wakimun (paling kanan). - Gambar oleh Alif Omar

PUTRAJAYA - Sudah tiba masanya satu akta khusus diwujudkan untuk mengekang gejala buli di peringkat sekolah rendah dan menengah.

Pertubuhan Aspirasi Wanita Malaysia (ASWA) berpandangan, akta sedia ada dilihat tidak cukup untuk menangani lambakan kes buli yang kian berleluasa.

image is not available
Wan Azliana Wan Adnan - Gambar oleh Alif Omar

Pengerusi ASWA, Wan Azliana Wan Adnan berkata, kira-kira 20 kes buli dilaporkan sejak sekolah dibuka tahun ini justeru, ia memerlukan perhatian sewajarnya.

“Kami ingin mencadangkan satu akta baharu digubal supaya kes buli tidak berlaku di masa akan datang di negara ini.

“Disebabkan kes buli banyak berlaku, satu jawatankuasa diharap dapat dibentuk supaya perkara ini (akta anti buli) dikaji dan dibawa ke peringkat seterusnya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pertemuan kira-kira satu jam dengan Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Dalam pertemuan itu, Dr Mahathir turut bertemu dengan tiga mangsa buli bersama ibu bapa mereka.

image is not available
Laporan mengenai kes buli di sekolah di Malaysia telah disediakan oleh ASWA dan akan diserahkan kepada beberapa kementerian berkaitan. - Gambar oleh Alif Omar

Sementara itu, Wan Azliana menambah, satu laporan berhubung kes buli di sekolah di Malaysia telah disediakan oleh pihak ASWA dan akan diserahkan kepada beberapa kementerian berkaitan.

Tambahnya, ia meliputi Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pendidikan.

“Laporan itu antara lain memfokus kepada kes buli di Malaysia, pencegahan gejala tersebut serta cadangan penambahbaikan yang boleh dilakukan.

“Satu prosedur operasi standard (SOP) berhubung kaedah siasatan kes buli perlu diwujudkan oleh pihak Kementerian Pendidikan di peringkat sekolah,” katanya.

Langkah tersebut tambahnya, bagi mengelakkan mangsa menjadi mangsa karenah birokrasi di semua peringkat. - Getaran, 31 Mei 2022