Malaysia layak ke separuh akhir badminton lelaki berpasukan

17 May 2022 • 12:52 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

MALAYSIA bangkit daripada ketinggalan untuk menumpaskan tuan rumah, Vietnam 3-1 sekali gus layak ke separuh akhir acara badminton berpasukan lelaki pada temasya Sukan SEA Ke-31 di Gimnasium Bac Giang, di sini pada Isnin.

Pasukan muda negara ketinggalan selepas pemain berpengalaman Vietnam Nguyen Tien Minh menewaskan Jacky Kok Jing Hong 21-14, 24-26, 21-7 dalam perseorangan lelaki.

Malaysia kemudian bangkit menyamakan kedudukan apabila beregu pertama Man Wei Chong-Tee Kai Wun mengetepikan cabaran gandingan Do Tuan Duc-Pham Hong Nam 21-8, 20-22, 21-18.

Lee Shun Yang pula menewaskan Le Duc Phat 21-19, 27-25 dalam perseorangan kedua, sebelum beregu kedua negara Wan Arif Wan Junaidi-Muhammad Haikal Nazri mengesahkan slot Malaysia ke separuh akhir dengan kemenangan ke atas Nguyen Dinh Hoang-Tran Dinh Manh 15-21, 21-12, 22-20.

Malaysia akan berdepan Singapura di peringkat separuh akhir, petang esok. Singapura mara dalam kelompok empat pasukan terbaik itu selepas mengalahkan Laos 3-0.

Sementara itu, cabaran skuad wanita muda negara terkandas di peringkat suku akhir apabila tewas mengejut 1-3 kepada Vietnam.

Perseorangan pertama Siti Nurshuhaini Azman tewas 9-21, 8-21 kepada Nguyen Thuy Linh, sebelum Vu Thi Trang meletakkan tuan rumah di kedudukan 2-0 apabila mengalahkan Siti Zulaikha Azmi 21-9, 21-7.

Beregu pertama negara Go Pei Kee-Yap Ling kemudian berjaya merapatkan kedudukan selepas menewaskan Dinh Thi Phuong Hong-Do Thi Hoai 12-21, 21-15, 21-16.

Namun perseorangan ketiga negara Ong Xin Yee gagal mengawal tekanan dan tumpas 13-21, 15-21 kepada Vu Thi Anh Thu sekali gus menamatkan cabaran Malaysia dalam acara berpasukan. - Bernama

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved