'Kelam kabut buat persiapan raya tapi rasa seronok'

5 May 2022 • 9:25 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

TEMERLOH- "Bergegas ke dapur nak sediakan juadah selepas raya diumumkan pada Isnin," kata seorang warga emas, Yazi Samat, 65 di Kampung Batu Kapor dekat Mentakab di sini.

Warga emas itu mengakui kekalutan yang dihadapi keluarganya dengan kejutan yang diterima itu kerana menjangkakan Aidilfitri disambut pada Selasa.

"Namun itu kuasa ALLAH S.W.T dan saya tahu semua rakyat Malaysia kelam-kabut membuat persiapan.

"Tapi seronok juga bila lihat semua ahli keluarga berganding bahu, bekerjasama biarpun terpaksa berjaga hingga lewat pagi," katanya kepada Sinar Harian.

Ujarnya, untuk sambutan pertama Aidilfitri, keluarganya hanya dapat menyediakan juadah rendang dan ketupat palas untuk tetamu kerana kekangan waktu dan bahan masakan.

"Memang mengantuk pada raya pertama dibuatnya tapi ia akan menjadi kenangan manis seumur hidup.

"Nasib baik seperti pakaian, langsir dan lain-lain sudah disiapkan lebih awal, kalau tidak memang lagi kalut dibuatnya," tambahnya.

Jelasnya, anak-anaknya yang pulang lebih awal juga banyak membantu persiapan Aidilfitri kali ini.

Dalam pada itu, Yazi masih sibuk menyiapkan tempahan kuih tradisional, kuih loyang ataupun ros atas permintaan pelanggan setia.

"Tak sampai hati nak tolak kerana mereka nak sangat kuih ini dan saya cuba siapkan biarpun raya sudah memasuki hari ketiga," jelasnya lagi.