Anak pelakon ditemui meninggal dunia dalam kereta

30 Apr 2022 • 11:30 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

KUALA LANGAT - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki ditemukan meninggal dunia dalam sebuah kereta di kawasan tepi lombong di Bandar Saujana Putra, Jenjarom pada Jumaat.

Mangsa Zulfazli Jaafar, 45, yang merupakan anak kepada pelakon Delimawati Ismail sebelum itu ditemukan oleh orang awam dalam sebuah kereta di lokasi kejadian dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor@Saleh berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan kejadian kira-kira jam 4.30 petang.

"Sepasukan anggota polis yang datang ke lokasi kejadian kemudian menjalankan kerja mengeluarkan mangsa dengan bantuan daripada anggota bomba.

"Mangsa kemudiannya dikeluarkan tidak lama kemudian setelah pintu kereta berjaya dibuka," katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun katanya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Siasatan awal dijalankan mendapati tiada unsur jenayah berkaitan kejadian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

"Polis masih menjalankan siasatan lanjut berkaitan kejadian," katanya.