Perhotelan tanpa lesen, pemilik didenda RM1,200

11 May 2022 • 4:10 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

TELOK DATOK - Seorang pemilik sebuah hotel di Kuala Langat didenda RM1,200 atau lima hari penjara oleh Mahkamah Majistret di sini pada Rabu, atas satu pertuduhan menjalankan aktiviti perhotelan tanpa lesen, dua tahun lalu.

Lelaki berusia 40-an itu dikenakan hukuman berkenaan selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca di hadapan Majistret Khairul Farhi Yusob.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menjalankan aktiviti perhotelan tanpa lesen Majlis Perbandaran Kuala Langat (MDKL), pada tahun 2020 lalu.

Tertuduh disabitkan di bawah kesalahan Undang-undang Kecil 3(1), Undang-undang Kecil Hotel MDKL 2007.

Lelaki itu juga didapati mempunyai 29 rekod kesalahan kompaun.

Pendakwaan dikendalikan oleh Ketua Pegawai Pendakwa Hasrizal Abdul Rahim dan Ahmad Razali Abdul Manaf manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, Yang Dipertua MPKL, Datuk Amirul Azizan Abd Rahim mengingatkan mana-mana individu yang menjalankan aktiviti perhotelan, supaya mematuhi peraturan dan undang-undang MPKL.

Menurutnya, pemilik hotel perlu memohon lesen terlebih dahulu sebelum menjalankan perniagaan.