
KUALA LANGAT - Seorang pemilik hotel berusia 40-an dihadapkan ke Mahkamah Majistret Telok Datok, di sini pada Rabu kerana menjalankan aktiviti perhotelan tanpa lesen daripada Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL).
Yang Dipertua MPKL, Datuk Amirul Azizan Abd Rahim berkata, tertuduh menjalankan aktiviti perniagaan berkaitan premis hotel tanpa lesen daripada MPKL dan mempunyai 29 rekod kesalahan kompaun sebelum ini.
Menurutnya, tertuduh disabitkan kesalahan di bawah kesalahan Undang-undang Kecil 3(1), Undang-undang Kecil Hotel MDKL 2007 dan dijatuhi hukuman denda RM1,200 atau lima hari penjara oleh Majistret Telok Datok, Khairul Farhi Yusob pada Rabu.
"Pendakwaan dilakukan oleh Ketua Pegawai Pendakwa, Hasrizal Abdul Rahim dan dibantu oleh Ahmad Razali Abdul Manaf.
"Mana-mana individu yang menjalankan aktiviti perhotelan diingatkan supaya mematuhi peraturan dan undang-undang MPKL, yang mana pemilik hotel perlu memohon lesen sebelum menjalankan perniagaan," katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Rabu.
