Terlewat Hadir Kerja, Kru Kapal Layar Dikhuatiri Lemas Di Laut

12 May 2022 • 9:19 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Ahmad Nur Hassanuddin Ibrahim

LANGKAWI - Tindakan seorang kru kapal layar mengejar perahu itu yang sudah berlepas ke laut dengan menggunakan bot kecil, mengundang tragedi apabila dia dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke laut di perairan Kuah di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner (ACP) Shariman Ashari berkata, berdasarkan siasatan awal, selain temu bual bersama rakan sekerjanya, mangsa, Ahmad Nur Hassanuddin Ibrahim, 23, dikatakan terlewat hadir bertugas apabila kapal layar tersebut berlepas ke laut kira-kira jam 4.30 petang.

“Berikutan itu mangsa dikatakan cuba mengejar kapal layar berkenaan dengan menggunakan bot kecil.

“Namun kira-kira jam 5 petang, sekumpulan individu menaiki bot pemancing yang pulang dari Pulau Bumbun menghala ke Royal Langkawi Yacht Club, ternampak bot kecil tanpa orang di dalamnya,” katanya menerusi kenyataan.

image is not available
Bot kecil dipercayai digunakan mangsa yang ditemui di perairan Kuah, Langkawi.

Shariman berkata, kumpulan individu tersebut turut menemui sepasang selipar dan topi terapung berdekatan bot kecil itu.

“Mereka mendapatkan pertolongan rakan sebelum melaporkan perkara tersebut kepada pihak polis.

“Operasi mencari dan menyelamat kemudiannya digerakkan dengan kerjasama pasukan polis marin, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), katanya.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat itu ditangguhkan pada jam 8.50 malam tadi.

“Penangguhan itu berikutan keadaan terlalu gelap dan disambung semula pagi ini,” katanya. - Getaran 12 Mei 2022