Jangkitan HFMD Di Sabah Meningkat

19 May 2022 • 8:36 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Datuk Dr Rose Nani Mudin

KOTA KINABALU - Sabah merekodkan 2,834 kes jangkitan penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) bermula Januari hingga 16 Mei lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr Rose Nani Mudin berkata, jumlah kes berkenaan menunjukkan peningkatan, apabila hanya 55 kes dilaporkan sepanjang tempoh sama, tahun lalu.

Bagaimanapun menurut beliau, tiada kes kematian melibatkan HFMD dilaporkan setakat ini.

Katanya, lima daerah yang mencatat kes tertinggi setakat ini ialah Tawau (435), Sandakan (387), Lahad Datu (308), Kota Belud (244) dan Papar (229).

“Sebanyak 93.1 peratus kes melibatkan kanak-kanak berusia kurang daripada enam tahun dan transmisi jangkitan majoritinya berlaku di rumah atau pusat pendidikan awal,” jelasnya.

Menurut Dr Rose Nani, penyakit itu dibawa virus (kumpulan enterovirus) HFMD yang merebak daripada individu dengan kontak secara langsung melalui lelehan hingus, air liur, najis dan cecair ruam mereka yang dijangkiti.

Kanak-kanak di bawah umur lima tahun adalah golongan yang paling mudah dijangkiti dan ia selalunya terjadi dalam kelompok kanak-kanak yang ditempatkan bersama.

Susulan daripada situasi HFMD di negeri ini, Dr Rose Nani berkata, JKNS mengambil beberapa langkah pencegahan termasuk melakukan siasatan segera ke atas semua kes dilaporkan, melakukan pemeriksaan menyeluruh premis yang berisiko seperti taska dan tadika serta menjalankan promosi berkaitan penyakit berkenaan.

“Sekiranya terdapat kes positif di sesuatu premis, JKNS akan mengarahkan penutupan premis di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 bagi menjalankan kerja pembersihan.

“Kita juga mengadakan perbincangan dengan pengendali taska dan tadika untuk memberikan khidmat nasihat seperti mana dalam buku Garis Panduan HFMD dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya. - Getaran, 19 Mei 2022

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved