Istiwa A'dzam Bantu Umat Islam Semak Arah Kiblat Tepat

27 May 2022 • 9:33 AM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Umat Islam berpeluang untuk menyemak ketepatan arah kiblat di premis atau kediaman masing-masing sempena Istiwa A'dzam yang akan menyaksikan kedudukan matahari berada tepat di atas Kaabah. - Gambar oleh Sairien Nafis

KUALA LUMPUR - Umat Islam boleh membuat semakan arah kiblat yang tepat menggunakan bayang daripada objek tegak sempena Istiwa A'dzam esok.

Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir berkata, peristiwa itu akan berlaku pada jam 5.18 petang yang menyaksikan kedudukan Matahari berada tepat di atas Kaabah.

"Semakan boleh dibuat dengan menggunakan sebarang objek lurus dan tegak yang berada di sekitar.

"Tempoh masa semakan bayang bermula jam 5.10 petang hingga 5.35 petang," katanya menerusi kenyataan.

Anhar berkata, sehubungan dengan itu, Jabatan Mufti Negeri Selangor meminta pegawai tadbir agama di Selangor untuk membuat hebahan ke seluruh masjid di negeri berkenaan.

"Hebahan ini supaya semua umat Islam mengambil peluang daripada peristiwa itu untuk membuat semakan ketetapan arah kiblat, khususnya di kediaman masing-masing," katanya.

Kenyataan itu turut memaparkan senarai pegawai tadbir agama di Selangor, iaitu Klang, Banting, Sepang, Batu Caves, Bandar Baru Bangi, Kuala Kubu Bharu, Kuala Selangor, Sungai Besar dan Shah Alam.

Istiwa’ A’dzam adalah kedudukan matahari tepat berada di atas Kaabah dan fenomena berkenaan berlaku dua kali dalam setahun. -  - Getaran, 27 Mei 2022