Beregu Wanita Badminton Pekak Tamatkan Kemarau Emas 21 Tahun

12 May 2022 • 6:38 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Wei Ying dan Zu Tung berhempas pulas selama 48 minit sebelum menumpaskan lawan. - Gambar ihsan MDSA

KUALA LUMPUR - Beregu wanita badminton pekak negara Boon Wei Ying-Foo Zu Tung menamatkan kemarau 21 tahun Malaysia apabila meraih pingat emas pada Sukan Deaflympic ke-24 di Caxias do Sul, Brazil, semalam (awal pagi Khamis di Malaysia).

Lebih manis, kejayaan itu dilakar dalam aksi 48 minit penuh debaran dengan menundukkan beregu nombor satu dunia dari Taiwan Fan Jung-yu-Shen Yan-ru 21-17, 17-21, 21-15.

Kali terakhir Malaysia merangkul emas dalam temasya dwitahunan itu menerusi atlet lelaki olahraga pekak Zana Azizul Ujang dalam acara 110 meter lari berpagar di Sukan Deaflympic Rom, Itali pada 2001.

Wei Ying turut menghadiahkan pingat perak menerusi gandingan bersama Edmund Teo Seng Keong bagi acara beregu campuran dengan menundukkan beregu India, Abhinav Sharma-Jevlin Jayaratchagan 14-21,7-21 pada perlawanan akhir.

Tidak terhenti di situ, Wei Ying juga meraih pingat gangsa acara perseorangan wanita selepas pemain Jepun, Mai Yakabe menarik diri daripada beraksi dalam perlawanan penentuan gangsa akibat COVID-19. - Bernama