Hujan Lebat, Ribut Petir Landa Sebahagian Besar Semenanjung

11 Jun 2022 • 4:05 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
MET meramalkan sebahagian besar negeri di Semenanjung dan Sarawak akan dilanda hujan lebat serta ribut petir. - Gambar fail

KUALA LUMPUR - Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) mengeluarkan amaran hujan lebat dan ribut petir di sebahagian besar negeri Semenanjung Malaysia dan Sarawak.

Antara negeri yang diramalkan dilanda hujan lebat dan ribut petir tersebut adalah di Perlis, Kedah, Perak, Terengganu, Pahang, Selangor, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Johor.

Menurut agensi tersebut, hujan lebat dijangka melanda beberapa daerah di Kedah iaitu Kubang Pasu, Padang Terap, Kuala Muda, Baling, Kulim dan Bandar Baharu manakala di Perak pula membabitkan daerah Larut, Matang, Selama, Kuala Kangsar, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk, Hilir Perak, Batang Padang dan Muallim.

Sementara itu di Terengganu, daerah yang dijangka mengalami hujan lebat dan angin kencang ialah Besut dan Hulu Terengganu  manakala di Pahang, fenomena berkenaan diramalkan melanda Cameron Highland, Raub, Bentong, Bera dan Rompin.

“Selain itu, Selangor juga akan mengalami cuaca sama iaitu di Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Kuala Langat dan Sepang.

“Di Negeri Sembilan, hujan lebat dijangka melanda Kuala Pilah dan Jempol manakala di Johor, cuaca buruk itu diramalkan berlaku di  Tangkak, Segamat, Muar, Batu Pahat dan Mersing,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut agensi itu lagi, hujan di Sarawak dijangka melanda daerah Kuching, Serian, Samarahan, Betong dan Bintulu.

“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam,” katanya.

Amaran tersebut dikeluarkan pada jam 2.35 petang dan dijangka berakhir sekitar 6 petang ini. - Getaran, 11 Jun 2022