Harimau muda akhiri cabaran di Uzbekistan

9 Jun 2022 • 7:05 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

SKUAD bawah 23 tahun (B-23) negara, menamatkan saingan Piala Asia B-23 di Tashkent, Uzbekistan tanpa sebarang kemenangan apabila tewas 0-2 kepada Vietnam pada aksi ketiga saingan Kumpulan C di Stadium Lokomotiv malam tadi.

Kekalahan itu menyaksikan skuad kendalian Brad Maloney gagal melepasi saingan peringkat kumpulan setelah tewas kali ketiga berturut-turut selepas tumpas 1-4 kepada Korea Selatan 2 Jun lalu sebelum dikecewakan 0-3 kepada Thailand pada 5 Jun.

Beraksi tanpa kelibat ramai pemain utama yang direhatkan menyaksikan aksi dipamerkan skuad B-23 agak goyah berdepan asakan bertali arus kesebelasan Vietnam sebaik wisel perlawanan ditiup.

Hasil serangan itu membolehkan Vietnam membuka jaringan menerusi Nham Manh Dung pada minit ke-28.

Jaringan itu dilihat mula menyemarakkan semangat kesebelasan Vietnam untuk terus mengasak pintu gol skuad negara bagi menambah jaringan.

Usaha skuad kendalian Maloney mengekang asakan lawan mengundang padah apabila Hairiey Hakim dilayangkan kad merah kerana mengasari pemain Vietnam dalam kotak penalti pada masa kecederaan babak pertama perlawanan.

Kesempatan itu nyata tidak dipersia-siakan Vietnam apabila Bui Hoang Viet Ang menyempurnakan sepakan penalti untuk gol kedua pasukan sekali gus memperkukuhkan defisit gol sebelum masuk ke bilik persalinan.

Babak kedua bersambung menyaksikan Vietnam semakin ghairah dalam menambah jaringan dengan menggandakan asakan.

Begitupun, skuad negara yang beraksi dengan 10 pemain dilihat berjaya mengekang setiap asakan lawan bagi memastikan tiada jaringan tambahan berjaya dihasilkan dan kedudukan 0-2 itu kekal sehingga ke wisel penamat.

Kemenangan itu menyaksikan Vietnam mengakhiri saingan Kumpulan C pada kedudukan kedua di belakang Korea Selatan yang menewaskan Thailand 1-0, malam tadi.