Wanita dibunuh, dibakar tepi sungai

1 Jun 2022 • 8:40 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

IPOH - Seorang wanita ditemui mati dipercayai dibunuh sebelum mayatnya dibakar di tepi Sungai Kuala Kangsar dekat Kampung Talang, Kuala Kangsar pada Selasa.

Mayat mangsa ditemukan oleh orang awam yang memaklumkan kejadian itu kepada polis sekitar jam 3.05 petang.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, maklumat awal mengatakan penemuan satu mayat tanpa identiti dalam keadaan terbakar di kawasan itu.

Menurutnya, polis Daerah Kuala Kangsar mengesahkan penemuan dan Unit Forensik serta Unit Anjing Pengesan (K9) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) dihantar ke lokasi bagi membantu siasatan.

"Pemeriksaan awal mendapati, mangsa dipercayai mati dibunuh dan dibakar di tempat yang sama.

"Identiti sebenar mangsa masih belum dikenalpasti, namun daripada penelitian awal berdasarkan fizikal, mangsa dipercayai seorang wanita," katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.

Beliau berkata, mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat bagi mencari punca sebenar kematian.

Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian atau kehilangan ahli keluarga diminta tampil membantu siasatan," katanya.

Menurutnya, maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau dengan pegawai penyiasat kes, Asisten Superintendan Mohd Subkey Alias di talian 013-9285436.