Penunggang Basikal Maut Dirempuh Kereta Di Lebuh Raya ‘Viral’ Temiang-Pantai

2 Jun 2022 • 1:44 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Sejak dibuka, lebuh raya Temiang-Pantai di Negeri Sembilan telah menjadi salah satu jalan yang diminati pemandu kerana pemandangannya yang indah dan sering disamakan seperti pemandangan di New Zealand.

Ramai yang sanggup berhenti sebentar di bahu jalan tersebut untuk mengabadikan kenangan dengan bergambar di situ.

Bagaimanapun, baru-baru ini terdapat berita yang kurang enak didengar apabila seorang penunggang basikal maut dirempuh sebuah kereta.

image is not available

Menurut laporan Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman berkata, mangsa yang maut dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu ialah lelaki berusia 72 tahun.

“Hasil siasatan awal mendapati, kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Perodua Axia dipandu seorang wanita berusia 26 tahun telah hilang kawalan sebelum terbabas melanggar basikal ditunggang mangsa di bahu kiri jalan.

Ketika itu Perodua Axia terbabit dipandu dari Jalan Pantai menghala ke Kajang, Selangor,” katanya

Difahamkan, kemalangan itu mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Bagaimanapun, pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.

Selain itu, beliau juga berkata, kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Siasatan lanjut masih diteruskan dan polis meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian itu menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai di talian 016-2895801 bagi membantu siasatan.

Berhati-hati di jalan raya ya semua!

image is not available

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.