Persidangan Agung Tahunan Bersatu 12 hingga 13 November depan

Politics
9 Jun 2022 • 5:05 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available

KUALA LUMPUR - Persidangan Agung Tahunan (PAT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan diadakan dari 12 hingga 13 November depan, kata Setiausaha Agungnya Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Hamzah dalam satu kenyataan pada Khamis berkata, persidangan cawangan parti berkenaan pula ditetapkan dari 19 Ogos sehingga 18 September depan, persidangan bahagian (8 hingga 9 Oktober) dan perhimpunan agung sayap (10 hingga 11 November).

Katanya, keputusan itu dicapai pada Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu pada Rabu yang dipengerusikan oleh Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurut Hamzah, Mesyuarat MPT juga memutuskan urusan pemilihan parti di peringkat cawangan akan ditangguhkan ke suatu tarikh tidak melebihi 18 bulan dari tarikh pemilihan yang sepatutnya diadakan.

"MPT juga sebulat suara bersetuju melantik Tan Sri Radzi Sheikh Ahmad sebagai anggota MPT yang baharu,” katanya.

Sementara itu, Bersatu meminta kerajaan mengambil langkah komprehensif untuk membendung kenaikan harga dan memastikan bekalan barangan makanan dan keperluan harian mencukupi.

Menurut Hamzah bagi Bersatu parti itu akan memperluaskan program bantuan prihatin rakyat yang dilaksanakan Bersatu termasuk program kebun komuniti yang kini sedang dilaksanakan di beberapa kawasan. - Bernama