
Kota Kinabalu: Seorang penganggur lelaki berusia 37 tahun didakwa menyebabkan kecederaan kepada ibunya.
Nicholos Joseph Green hadir di hadapan Pendaftar Mahkamah Rita Kunsoi, untuk menghadapi pertuduhan terhadapnya pada Jumaat.
Bagaimanapun, tiada pengakuan diambil daripada Nicholos selepas pertuduhan dibacakan kepadanya.
Nicholos didakwa menyebabkan kecederaan kepada ibunya, Natasha Kimberly Apin yang mengalami lebam di tapak tangan kiri, paha kiri dan kedua-dua telinga, pada pukul 1.30 tengah hari 28 April tahun ini di sebuah rumah di Kg Imbahan Ketiau, Putatan.
Kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan itu dibaca bersama Seksyen 326A Kanun sama dan memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 15 Jun depan untuk sebutan kes Nicholos bagi merekodkan pengakuannya, dan dia dilepaskan dengan ikat jamin RM1,500 dengan dua penjamin tempatan, sementara menunggu tarikh tersebut.
Nicholos juga didakwa mengambil dadah dan bagi kes itu, tiada pengakuan direkodkan daripadanya.
Bagi kes dadah ini, Nicholos ditawarkan ikat jamin RM1,000 dan penjamin boleh orang sama bagi kes pertamanya.
Mahkamah menetapkan 19 Julai untuk e-semakan laporan kimia.
Dalam kes lain, seorang penganggur berusia 40 tahun didakwa mengugut untuk menyebabkan kecederaan kepada ibu bapanya.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Abdul Khalid Wajib selepas pertuduhan dibacakan kepadanya.
Abdul Kahlid didakwa mengugut akan mencederakan ibu bapanya iaitu Wajib Kurais, 72, dan Jumatiah Aminulla, 70, bahawa dia akan menikam mereka dengan pisau.
Kesalahan itu didakwa berlaku pada pukul 7.30 pagi 6 Jun tahun ini di sebuah rumah di Skim Penempatan Telipok di Fasa 2 di Jalan Lowo Monduo, Telipok.
Kesnya akan disebut pada 14 Julai tahun ini untuk pengakuan dan mahkamah menawarkan Abdul Kahlid ikat jamin RM1,500 dengan dua penjamin tempatan.
Inspektor Navind Kumar Vijayan hadir untuk pendakwaan.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
