Kongres PKR Ditangguh 2 Minggu

Politics
10 Jun 2022 • 3:20 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Media melaporkan penangguhan dibuat bagi memberi ruang kepada audit forensik menjalankan siasatan terhadap bantahan dan aduan yang diterima berkaitan pemilihan parti. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR - Kongres PKR yang sepatutnya berlangsung pada 24 hingga 26 Jun ini ditangguh ke pertengahan Julai depan.

Sumber terdekat parti memaklumkan kepada Getaran, tarikh baharu itu dijangka pada 15 hingga 17 Julai depan.

“Ya saya boleh mengesahkan ia akan ditangguh, namun saya tidak mahu mengulas lanjut.

“Tunggu sahaja pengumuman rasmi daripada JPP (Jawatankuasa Pemilihan Parti) PKR yang akan dibuat dalam masa terdekat,” katanya ketika dihubungi.

Ditanya apakah alasan di sebalik penangguhan itu adalah bagi memberi ruang untuk anggota parti menyelesaikan aduan dan melakukan audit forensik seperti dilaporkan beberapa media, beliau enggan mengiyakan dengan mengesahkan secara terperinci perkara terbabit.

“Biar apapun diperkatakan media mengenai perkara ini, termasuk kenyataan pihak tertentu di media sosial, saya tidak mahu komen, kita tunggu pengumuman rasmi,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil ketika dihubungi, meminta supaya pengesahan dibuat dengan merujuk kepada JPP dan Setiausaha Agung Parti berkenaan.

“Salam, tiada pengesahan waktu ini. Rujuk JPP, SUA (Setiausaha Agung),” katanya. – Getaran, 10 Jun 2022