
SHAH ALAM, 2 JUN: Sebuah premis mengumpul dan menjual sisa pakaian lusuh disita kerana beroperasi tanpa kebenaran Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS).
Tindakan diambil hasil pemeriksaan di lot 792, Jalan KKB – Rasa (Ladang Ulu Selangor), Mukim Rasa dan ketika itu seorang pekerja didapati sedang memuatkan sisa pakaian lusuh ke dalam lori treler menggunakan jengkaut.
Turut disita sebuah lori treler dan jengkaut yang digunakan di premis tersebut mengikut UUK3 & 38 (1), Undang-Undang Kecil Tred, Perniagaan & Perindustrian MDHS (2007).
“Hasil siasatan lanjut mendapati premis berkenaan tidak mempunyai kelulusan atau kebenaran daripada mana-mana agensi termasuk MPHS.
“Pemilik juga gagal mengemukakan sebarang dokumen kepada pihak MPHS,” kata MPHS dalam kenyataan hari ini.

Menurut MPHS operasi itu membabitkan 17 pengawai dan kakitangan daripada jabatan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, jabatan penguatkuasaan, jabatan perancang bandar, jabatan bangunan, bahagian korporat, selain dua anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Mengulas lanjut, MPHS berkata tindakan menyita diambil bagi mengelak pencemaran alam sekitar berikutan kedudukan premis berhampiran anak sungai.
“Aktiviti pusat pengumpulan dan pelupusan pakaian lusuh ini dijalankan berhampiran jalan utama dan jaraknya dengan anak sungai lebih kurang 150 meter hingga 200 meter.
“Pemantauan terhadap aktiviti seperti ini akan diteruskan dari masa ke semasa,” katanya.
The post Premis kendali sisa pakaian lusuh beroperasi tanpa kebenaran disita appeared first on Selangorkini.

