Peranti Kelas Permulaan Poco C40 Dilancarkan Dengan Bateri 6000mAh Dan Cip JLQ JR510

TechnologyDigital
7 Jun 2022 • 11:48 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

image is not available

Poco adalah jenama yang terkenal dengan peranti mampu milik. Mereka mula dengan peranti tersendiri iaitu Poco F1 sebagai pembunuh peranti mercu, kemudian senyap selama dua tahun. Saat mereka kembali, strategi mula berubah kerana mereka mula menawarkan produk daripada pelbagai kelas dan kategori.

Poco kini mempunyai banyak peranti dan majoriti adalah penjenamaan semula daripada Redmi. Terkini mereka telah melancarkan Poco C40 sebuah peranti kelas permulaan baharu.

image is not available

Peranti ini hadir dengan skrin 6.71-inci HD+ 1560 x 720, hanya menyokong 60Hz dan kecerahan rendah iaitu 400 nits. Skrin peranti ini masih menggunakan rekaan bertakuk kecil yang sudah lama tidak digunakan oleh banyak pesaing. Apa yang pelik dengan peranti ini adalah, cip pemprosesan yang digunakan adalah JLQ JR510 yang tidak pernah kita dengar.

image is not available

Cip ini mempunyai kuasa 4x 2.0GHz dan 4x 1.5GHz Cortex-A55 dengan binaan 11nm. Ia adalah cip yang setaraf dengan Snapdragon 450, iaitu cip yang dilancarkan pada tahun 2017. JLQ adalah syarikat yang menghasilkan cip untuk peranti berhubung di China. Memori digunakan adalah 4GB RAM dan 64GB storan dalaman.

image is not available

Peranti ini menjalankan MIUI for Poco berasaskan Android 11, kamera 13+2 Megapixel dan kamera swafoto 5 Megapixel. Ia adalah peranti 4G dengan bateri 6000mAh yang terhad dengan pengecasan 18W.

Peranti ini akan hadir dengan warna hitam, kuning dan hijau dan dijual di Vietnam pada harga VND 3,490,000 iaitu sekitar RM662.