
PUTRAJAYA - Satu nota pemulangan dikeluarkan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) terhadap ejen penghantar kontena yang mengandungi sisa buangan plastik untuk dihantar semula ke negara asal.
Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pemeriksaan telah dijalankan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang di Terminal Kontena Butterworth Utara (NBCT) dan mendapati sebanyak 14 kontena mengandungi buangan plastik tercemar.
Menurutnya, kesemua kontena itu merupakan sisa plastik yang dibawa masuk dari Amerika, New Zealand, Great Britain dan Belgium.
"Syarikat pengimport dari Sungai Petani, Kedah yang dipercayai telah diisytiharkan muflis.
"Semua kontena diperiksa dan satu kontena membawa buangan plastik tercemar disyaki buangan SW 422 (campuran buangan terjadual dengan buangan bukan terjadual) di bawah Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005," katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya pada Jumaat.
Dalam masa sama, beliau turut memuji kecekapan pihak terlibat dalam menangani kemasukan kontena mengandungi sisa buangan plastik itu.
"Terima kasih JAS Pulau Pinang, cekap bertindak dan pantas menjalankan pemeriksaan," katanya.
