Bagaimana Pelakon Terkenal Johnny Depp Menang Saman Fitnah Terhadap Bekas Isterinya, Amber Heard?

Entertainment
7 Jun 2022 • 9:30 AM MYT
Saya Zuan
Saya Zuan

An avid toy collector who enjoys making videos, writing and travelling.

Sumber: Deadline

Siapa tak kenal pelakon terkenal Johnny Depp? Beliau pernah dinobat sebagai “Sexiest Man Alive” daripada People Magazine dan merupakan lelaki pertama yang memenangi gelaran ini dua kali dalam jangkamasa tidak lebih 10 tahun. Walaupun Johnny Depp seorang yang terkenal, personalitinya lebih kepada seseorang yang menggemari privasi dan mengelak daripada terlibat dengan kontroversi besar.

Johnny Depp memulakan kerjayanya sebagai seorang pelakon Hollywood pada usia 21 tahun walaupun minat utamanya adalah bermain muzik. Wajahnya yang tampan dan etika kerjanya yang disenangi ramai menjadikannya salah satu pelakon lelaki Hollywood yang sering menjadi pilihan pengarah. Bukan seorang pelakon “stereotaip”, Johnny Depp senang membawa watak-watak berbeza dalam setiap filem yang dilakonkannya. Diantara filem-filem Johnny Depp adalah seperti Edward Scissorhands, Public Enemies, Finding Neverland, Donnie Brasco, Sweeney Todd, Charlie and the Chocolate Factory, Alice In Wonderland, Pirates Of The Caribbean (1-5), Fantastic Beasts: The Crimes of Grindelwald dan banyak lagi.

Amber Heard ialah bekas isteri Johnny Depp yang kedua. Kali pertama Johnny Depp berkahwin ialah pada tahun 1983 sewaktu berusia 20 tahun. Selepas bercerai dengan isteri pertamanya, Johnny Depp pernah menjalinkan hubungan dengan beberapa wanita terkenal seperti Sherilyn Fenn, Jennifer Grey, Winona Ryder, Kate Moss, dan Vanessa Paradis. Hubungan Johnny Depp dan Vanessa Paradis paling lama berkekalan dan mereka berdua dikurniakan dua anak bersama.

Pada tahun 2009, Johnny Depp berkenalan dengan Amber Heard apabila mereka berdua berlakon dalam filem yang sama iaitu “The Rum Diary”. Mereka dikatakan berpacaran pada tahun 2011 dan pada tahun 2015 mereka berkahwin.

Rumahtangga mereka dilanda isu daripada awal perkahwinan. Jika anda mengikuti prosiding mahkamah saman fitnah antara Johnny Depp dan Amber Heard selama 7 minggu berturut-turut daripada awal bulan Mac yang lepas, anda pasti melihat dan mendengar bukti-bukti yang diketengahkan oleh peguam-peguam dan saksi-saksi kedua-dua belah pihak.

Di Hollywood, saman fitnah boleh dikatakan perkara biasa tetapi untuk memenangi kes saman fitnah adalah sukar. Ini kerana, terdapat banyak kriteria yang perlu dicapai bagi seseorang untuk menang.

Dalam kes saman fitnah Johnny Depp dan Amber Heard, Johnny Depp menyatakan bahawa Amber Heard telah memfitnah beliau melalui suatu artikel yang ditulis Amber Heard dimana dia menyatakan bahawa dia merupakan seorang pemandiri keganasan rumahtangga. Walaupun nama Johnny Depp tidak disebut di dalam artikel tersebut, Johnny Depp menyatakan nama baiknya dan reputasinya tercemar selepas artikel tersebut tersiar. Bukan sahaja nama Johnny Depp busuk setelah banyak portal media menggelarkannya “wife beater” (pendera isteri) selepas artikel tersebut tersiar, tetapi menurut Johnny Depp, Warner Brothers dan Disney juga memutuskan kerjasama dengannya kerana artikel tersebut.

Terdapat 7 perkara yang perlu Johnny Depp buktikan kepada pijak juri bahawa memang beliau diftnah bekas isterinya. Jika benar, beliau meminta pampasan dari Amber Heard sebanyak US$50 juta. Pada masa yang sama, Amber Heard juga saman balas terhadap Johnny Depp sebanyak US$100 juta dengan mengemukakan 3 perkara yang menyatakan Johnny Depp juga telah memfitnahnya.

7 perkara yang perlu dibuktikan dan dipersetujui benar oleh juri sebelum Johnny Depp boleh memenangi saman fitnah ini
Sumber: FairfaxCounty.gov

Namun, bagaimana Johnny Depp dapat menang saman fitnah terhadap bekas isterinya sedangkan saman fitnah susah untuk dimenangi di Amerika Syarikat?

Lagi sekali, jika anda pernah ikuti kes yang ditayangkan secara langsung ini, anda akan dapat lihat beberapa ketidakselarasan di dalam kenyataan-kenyataan yang dikongsi Amber Heard. Sewaktu Amber Heard menjadi saksi, keterangan yang diberinya bercanggah dengan keterangannya beberapa tahun sebelum itu. Terdapat suatu insiden dimana Amber Heard menyatakan beliau dipukul Johnny Depp dan cedera di mukanya tetapi tiada saksi yang nampak tanda-tanda tersebut, termasuk anggota polis yang tiba di “penthouse” pada hari berkenaan dan pekerja “penthouse” itu sendiri. Kawan-kawan Amber Heard yang dipanggil sebagai saksi pihak Amber Heard juga menafikan pernah melihat Johnny Depp memukul Amber Heard seperti yang dikatakan bekas isteri pelakon itu.

Paling tidak masuk akal ialah walaupun Amber Heard menyatakan dia didera secara seksual oleh Johnny Depp dengan menggunakan botol yang pecah, dia tidak pernah sekalipun melakukan aduan kepada pihak polis ataupun ke hospital untuk membuat pemeriksaan. Sebaliknya, selepas insiden Amber Heard membuang botol wain ke arah Johnny Depp dan menyebabkan jari Johnny Depp sedikit terpotong, terdapat banyak bukti gambar titisan darah dan keadaan yang bersepah di rumah tersebut.

Percanggahan keterangan-keterangan Amber Heard, beberapa saksi yang kurang kredibiliti dan bukti-bukti yang tidak kukuh daripada pihak Amber Heard merupakan sebahagian besar sebab bagaimana Johnny Depp dapat memenangi saman fitnah ini.

Di antara 7 perkara yang disenaraikan Johnny Depp sebagai bukti beliau difitnah, pihak juri telah menganugerahkan US$10 juta sebagai gantirugi pampasan dan US$5 sebagai gantirugi punitif. Ini membuktikan pihak juri percaya artikel yang ditulis Amber Heard mempunyai niat jahat dan ketujuh-tujuh perkara yang disenaraikan Johnny Depp dalam saman ini dicapai. Namun begitu, Amber Heard juga dianugerahkan US$2 juta sebagai gantirugi pampasan oleh pihak juri kerana 1 daripada 3 perkara yang dikemukakan Amber Heard disetujui pihak juri bahawa mempunyai unsur fitnah yang dilakukan pihak (bekas) peguam Johnny Depp beberapa tahun yang lalu. Amber Heard tidak dianugerahkan gantirugi punitif.

Pada pendapat saya, walaupun sekiranya Johnny Depp ni bukan seorang “angel” (malaikat), adalah tidak adil apabila reputasi yang dibinanya selama lebih 30 tahun menjadi busuk disebabkan niat jahat dan fitnah seorang wanita.

Tindakan Amber Heard tambah menyukarkan situasi wanita-wanita yang menghadapi keganasan rumahtangga kerana sekarang, lebih ramai akan menginginkan bukti yang lebih jelas dan kukuh untuk menuduh pelaku walaupun sekiranya memang wanita-wanita tersebut didera. Namun begitu, kes ini juga membuka mata masyarakat bahawa bukan wanita sahaja yang menjadi mangsa penderaan tetapi begitu juga lelaki. Semoga undang-undang baru dan lebih ketat dapat diperkenalkan untuk mangsa-mangsa penderaan (dalam atau luar rumahtangga) di masa akan datang.


Saya Zuan adalah penulis di bawah program Headliner oleh Newswav, sebuah program di mana pencipta kandungan dapat menceritakan kisah unik mereka melalui artikel, pada masa yang sama menjana pendapatan melalui kandungan mereka dalam aplikasi Newswav.
Sila daftar di headliner.newswav.com untuk menjadi penulis kami sekarang!

*Kandungan di atas hanya mewakili pandangan penulis sendiri. Sekiranya anda mempunyai pertanyaan mengenai kandungan karya, hak cipta atau masalah lain, sila hubungi Newswav.