Kementerian Kesihatan Malaysia Jawab Dakwaan Kononnya Negara Kekurangan Bekalan Ubat

3 Jun 2022 • 12:48 PM MYT
Lobak Merah
Lobak Merah

Laman socialtainment #1 di Malaysia. Dapatkan isu-isu terkini setiap hari.

image is not available

Walaupun terdapat peningkatan bagi permintaan ubat-ubatan, pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjelaskan bahawa tiada produk ubat-ubatan yang mengalami kekurangan bekalan secara menyeluruh seperti yang didakwa di media sosial dan beberapa media massa baru-baru ini.

Jelas KKM lagi, peningkatan permintaan bagi ubat-ubatan dengan bahan aktif seperti paracetamol, vitamin C dan ubat batuk memang ada namun kesemua produk mempunyai alternatif dari pelbagai jenama lain yang mempunyai indikasi yang sama.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi KKM, Norhaliza A Halim menjelaskan bahawa situasi berkenaan turut mendapat sokongan daripada pihak pengilang yang turut meningkatkan kapasiti pengeluaran untuk memenuhi permintaan yang tinggi tersebut.

Jelasnya lagi, KKM sedang mendapatkan maklum balas lanjut daripada pihak industri berhubung status ubat-ubatan sebenar dan terkini. Ini juga termasuklah, sama ada ianya dihasilkan di Malaysia ataupun diimport dari luar negara serta isu-isu yang berkait dengannya.

KKM turut memberikan jaminan bahawa pihak mereka mengadakan pemantauan yang ketat serta penyelesaian terhadap setiap isu yang timbul secara teliti melalui komunikasi berterusan antara mereka dan institusi farmaseutikal.

image is not available

Hal ini tambah kenyataan KKM lagi adalah penting supaya rakyat Malaysia mempunyai bekalan ubat-ubatan yang berkualiti, selamat dan berkesan.

Difahamkan,sebelum ini, timbul isu kononnya bekalan ubat-ubatan dan bahan mentah bagi produk farmaseutikal berkurangan. Selain itu, dikatakan juga ia melibatkan ubat-ubatan untuk rawatan demam, selsema dan batuk, sakit tekak, antibiotik, ubat tahan sakit serta ubat-ubatan bagi mengurangkan gejala penyakit kaki, tangan dan mulut (HFMD).

image is not available

Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.