
PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang melepas dan membebaskan bekas Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Terengganu (PPNT) terhadap tuduhan menggunakan invois yang mengandungi butir palsu.
Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Seri Kamaludin Md Said membuat keputusan itu, selepas membenarkan rayuan Che Sa’adon Che Yahya(gambar) untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang telah mensabitkannya terhadap tuduhan itu, dan menjatuhkan hukuman penjara setahun dan denda RM10,000.
Hakim Kamaludin berkata rayuan Che Sa’adon bermerit, kerana Mahkamah Tinggi tidak menghargai isu minit mesyuarat yang menyatakan tuntutan yang dibuat oleh Che Sa’adon tersebut adalah kesilapan teknikal.
Dua hakim lain yang bersidang bersama Hakim Kamaludin ialah Datuk P. Ravinthran dan Datuk Abu Bakar Jais.
Che Sa’adon, 58, didakwa sebagai ejen PPNT, telah menggunakan dokumen invois cukai berjumlah RM1,140, yang mengandungi butiran palsu untuk memperdayakan PPNT.
Mengikut pertuduhan, Che Sa’adon didakwa telah meminda butiran dengan membuat penukaran alat ganti kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Fortuner milik PPNT, sedangkan sebenarnya dia membuat penukaran alat ganti kepada kenderaan Toyata Wish miliknya.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di pejabat PPNT, Terengganu pada 25 Jan, 2016.
Pada 28 Nov, 2019, Mahkamah Sesyen di Kuala Terengganu telah mendapati Che Sa’adon tidak bersalah dan melepas dan membebaskan Che Sa’adon terhadap tuduhan itu.
Bagaimanapun pada 7 Feb, 2021, Mahkamah Tinggi membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengenepikan keputusan Mahkamah Sesyen yang telah melepas dan membebaskan Che Sa’adon.
Che Sa’adon telah didapati bersalah oleh Mahkamah Tinggi terhadap tuduhan itu dan dijatuhkan hukuman 12 bulan dan denda RM10,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda tersebut. Dia kemudiannya memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.
Beliau diwakili peguam Ahmad Nizam Mohamed, Muhammad Zulfaqar Al-Basysyar Saharrudin, Mohd Zul Azhan Abu Bakar dan Mohd Nazri Awang, manakala Timbalan Pendakwa Rraya Norzilati Izhani Zainal@Zainol bagi pihak pendakwaan.-Bernama



