
Kota Kinabalu: Sektor koperasi di Sabah merekodkan jumlah perolehan sebanyak RM470.8 juta setakat 31 Disember tahun lepas, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Hasil itu membabitkan sejumlah 1,652 koperasi yang beroperasi di Sabah dengan keahlian seramai 339,000 berdasarkan perangkaan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
Ia turut melibatkan kekuatan aset sebanyak RM887.1 juta, selain pemilikan syer dan yuran mencecah RM218.6 juta yang sekali gus membuktikan gerakan koperasi mampu memacu perkembangan ekonomi negeri dengan lebih mampan.
“Sabah adalah sebuah negeri kaya dengan sumber alam semula jadi. Justeru, koperasi di negeri ini harus bijak memanfaatkannya dalam menjalankan aktiviti pengeluaran atau perkhidmatan yang boleh memberi pulangan lumayan.
“Gerakan koperasi di Sabah juga perlu sentiasa bersiap sedia menyesuaikan diri dengan arus perubahan bagi menghadapi segala cabaran dalam persekitaran perniagaan terutama selepas pandemik Covid-19,” katanya dalam teks ucapan perasmian Hari Koperasi Negara peringkat negeri, yang dibacakan oleh Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Shahelmey Yahya pada
Hajiji berkata kelonggaran pelaksanaan prosedur operasi standard ketika ini diyakini mampu merancakkan semula ekonomi dan pastinya memberi kelegaan kepada gerakan koperasi terutama yang menjalankan aktiviti pelancongan, selepas terjejas akibat pandemik Covid-19.
Beliau juga mahu sektor koperasi negeri merebut peluang ekonomi sedia ada serta meningkatkan daya saing ke arah transformasi negeri, selain pengurusan koperasi perlu merancang dan menilai pelaburan sesuai yang boleh membawa pulangan kepada ahli.
“Saya yakin sektor koperasi di negeri ini mampu berkembang dan bergerak seiring dengan sektor perniagaan lain sekiranya diurus tadbir dengan efisien, telus dan profesional,” katanya.
Beliau berkata kerjasama strategik antara SKM dengan agensi kerajaan Sabah seperti Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan negeri amat dialu-alukan kerana usaha itu adalah sejajar dengan objektif pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (2021-2025).
Gerakan koperasi di Malaysia bermula pada 1922 dan tahun ini genap 100 tahun entiti itu diwujudkan, manakala perkembangan sektor koperasi di Sabah pula bermula pada 1956 dan masih ada yang aktif sehingga ke hari ini iaitu Koperasi Green Berhad.
Pada majlis itu, sebanyak lapan koperasi di Sabah menerima anugerah koperasi terbaik dengan masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai, sijil dan plak.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
