Kutip beribu puntung rokok dalam masa tak sampai dua jam

30 Nov 2019 • 9:20 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

TEMERLOH - Dalam tempoh tidak sampai dua jam, ribuan puntung pokok berjaya dikutip sempena kempen Trash & Clean Mukim Mentakab di beberapa buah lokasi di daerah ini hari ini.

Penyelaras program, Muhammad Sha'ani Abdullah berkata, program yang julung kali diadakan itu menyasarkan empat kawasan dengan restoran menjadi lokasi tertinggi bilangan puntung rokok dikutip oleh 20 sukarelawan.

"Lokasi yang terlibat kali ini di sekitar Pasar Besar Mentakab dan beberapa restoran di bandar Mentakab, Dataran Esplanade Temerloh dan persimpangan Batu 3 di sini.

"Selain mengutip puntung rokok, pengedaran risalah dan pemasangan poster turut dijalankan," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Project Millennium Pintar (PM- Pintar), Azkandar Roslan dan timbalannya, Razali Hussin.

Aktiviti sempena kempen Trash & Clean Mukim Mentakab itu dilaksanakan bertujuan memastikan persekitaran bebas selain kesedaran mengenai bahaya merokok di negara ini.

image is not available
Sukarelawan yang terlibat mengutip puntung rokok di beberapa lokasi terlibat dalam kempen tersebut.

Kempen inisiatif@SmokeFreeMy di bawah Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) dan PM-Pintar turut mendapat kerjasama NGO dan pihak lain antaranya Persatuan Kebajikan Rakyat Bertindak Temerloh (Akrab), Wasilah Global Auto Sdn Bhd, Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Temerloh dan konglomerat, Johnson's & Johnson's serta Pejabat Kesihatan daerah.

Sementara itu, Sha'ani turut meminta lebih ramai orang awam melibatkan diri dalam kempen sebegitu selain akan meneruskan kempen sama di lokasi-lokasi lain selepas ini.

"Pada mana-mana pihak yang ingin menjalankan kempen sebegini boleh merujuk kepada FOMCA menerusi @SmokeFreeMY dengan menghubungi di talian 011-32119192 atau di Facebook dan Twitter atas nama sama," ujarnya.

image is not available
Muhammad Sha'ani (berdiri, tiga dari kiri) bersama sebahagian sukarelawan yang terlibat sempena kempen tersebut.