Ayuh, Harimau Malaya tunjuk taringmu!

14 Nov 2019 • 3:00 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin telah meluangkan masa untuk bersarapan pagi dengan para pemain skuad Harimau Malaya menjelang aksi keempat Kumpulan G, Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Thailand di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini.

Mengambil kira perlawanan malam ini cukup penting dalam menentukan hala tuju skuad Harimau Malaya dalam memburu slot ke pusingan seterusnya dan juga layak ke Piala Asia 2023, Hamidin meminta para pemain tampil lebih garang dan agresif bagi memastikan tiga mata penuh di gelanggang sendiri dapat diraih.

"Sudah tentu sebelum ini saya begitu kecewa dengan kekalahan 1-0 kepada Vietnam pada perlawanan ketiga di Hanoi, 10 Oktober lalu yang mana permainan kita ketika itu bukan pada tahap sebenar seperti apa yang ditampilkan pada perlawanan menentang Indonesia dan UAE (Emiriah Arab Bersatu) sebelum itu.

"Jadi untuk perlawanan menentang Thailand malam ini, saya mahu para pemain bangkit semula daripada kekalahan kepada Vietnam itu dan apa yang ditampilkan ketika kita menewaskan Tajikistan 1-0 pada aksi persahabatan, Sabtu lalu harus dipertingkatkan lagi dengan menampilkan kekuatan sebenar bertemu Thailand ini.

"Kita mahukan kemenangan malam ini. Jadi pemain perlu tampil dengan lebih garang, agresif dan tunjukkan taring dan semangat harimau yang sebenar, lebih-lebih lagi kita akan beraksi dengan dibantu sokongan padu puluhan ribu penyokong sendiri.

"Tunjukkan yang anda semua pemain yang bagus dan memiliki kualiti untuk menewaskan Thailand malam ini," kata Hamidin.

Turut sama, Timbalan Presiden FAM, Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi yang juga pengurus pasukan serta Datuk Posa Majais, penolong pengurus pasukan.

Hamidin turut menyeru para penyokong Harimau Malaya supaya turun beramai-ramai menyokong skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini bagi memberikan suntikan semangat dan motivasi kepada para pemain.


Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved