Kemas kini watchOS 6 diberikan bulan lalu untuk membawakan fungsi-fungsi baharu. Tetapi nampaknya ia turut membawakan beberapa pepijat baharu pula muncul yang menyebabkan bateri jam tangan pintar Apple Watch habis dengan lebih pantas berbanding sebelumnya.

Antara perkara yang boleh dilakukan pemilik Apple Watch Series 5 ialah menyahaktifkan mod Always on Display. Tetapi ini akan membuatkan satu-satunya fungsi yang membezakannya dengan Series 4 tidak boleh digunakan. Pengguna model lain disarankan untuk mematikan aplikasi Noise yang mengesan hingar persekitaran.
Menurut MacRumours, pengguna yang kini memuat turun watchOS 6.1 Beta melaporkan masalah telah diselesaikan. Apple masih belum mengeluarkan tarikh rasmi bilakah versi sistem operasi ini akan diberikan. Seperti iOS 13, Apple terpaksa memberikan beberapa kemas kini yang pantas kerana wujudnya banyak pepijat yang membuatkan penggunaan peranti tidak lancar seperti versi sebelumnya.
